Fakta tunjuk aliran RM42 juta masuk akaun Najib: TPR

Najib tiba di Mahkamah Persekutuan bagi perbicaraan rayuan sabitan dan hukuman penjara ke atas beliau berhubung penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd, berjumlah RM42 juta. - Foto Bernama
Najib tiba di Mahkamah Persekutuan bagi perbicaraan rayuan sabitan dan hukuman penjara ke atas beliau berhubung penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd, berjumlah RM42 juta. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Pasukan responden di Mahkamah Persekutuan di sini pada Jumaat menyatakan bahawa jejak aliran wang jelas menunjukkan dana RM42 juta daripada akaun Ambank milik Syarikat SRC International Sdn Bhd berakhir ke akaun Datuk Seri Najib Tun Razak.

Timbalan Pendakwa Raya Kanan, Datuk V Sithambaram berhujah, dana itu dimasukkan ke akaun peribadi Najib melalui akaun bank anak syarikatnya, Gandingan Mentari Sdn Bhd (GMSB) dan Ihsan Perdana Sdn Bhd (IPSB).

Menurutnya, bekas Perdana Menteri itu tidak pula membuat laporan dan aduan kepada Ambank berhubung wang berkenaan.

“Sebelum ini, perayu kata tidak tahu sumber dana jelas menunjukkan ia adalah pembohongan kerana menerusi akuan bersumpahnya sendiri, telah mengesahkan beliau tahu bahawa dana itu datang daripada SRC masuk ke akaun banknya.

“Perayu juga telah menggunakan RM42 juta untuk kegunaannya sendiri,” katanya ketika berhujah di hadapan lima panel diketuai Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat.

Turut bersidang ialah empat panel hakim iaitu Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Datuk Abang Iskandar Abang Hashim serta tiga Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Nallini Pathmanathan, Datuk Mary Lim Thiam Suan dan Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah.

Sithambaram berkata, jejak aliran melalui GMSB and IPSB tidak mengubah sebarang fakta kerana ia sebenarnya adalah dana milik SRC yang kemudiannya dilencongkan ke dalam akaun Najib.

“Satu-satunya sebab logik ialah, ia dilakukan bagi mengelakkan dikesan dan ini disahkan melalui pemindahan yang dibuat pada hari yang sama tanpa alasan sah sebagai sebahagian daripada proses pelapisan yang sering digunakan oleh penjenayah,” katanya.

Selain itu Sithambaram berkata, sejak awal penubuhan SRC sehingga penerimaan RM42 juta dalam akaunnya, perayu sedar bahawa harta SRC telah diamanahkan kepadanya.

Katanya, perayu telah dengan sengaja menaikkan dirinya sebagai Penasihat Emeritus SRC berdasarkan kedudukannya sebagai Perdana Menteri.

Beliau berkata, ia diperkukuh lagi dengan fakta bahawa semua tindakan Lembaga Pengarah SRC adalah berdasarkan arahannya dalam minit pemegang saham yang dikeluarkannya melalui Kementerian Kewangan kerana kedudukannya sebagai Menteri Kewangan.

Prosiding bersambung dengan Sithambaram membaca hujahan seterusnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!