Ancaman terhadap Ketua Hakim Negara disiasat segera

Hantaran milik seorang individu yang dikesan berbaur ugutan di Facebook pada Jumaat.
Hantaran milik seorang individu yang dikesan berbaur ugutan di Facebook pada Jumaat.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sebarang elemen ugutan atau ancaman terhadap Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat akan dijalankan siasatan dengan segera.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, biarpun belum terdapat sebarang laporan yang dibuat namun perkara itu adalah satu isu yang serius.

Beliau berkata, pihaknya menerusi Jabatan Siasatan Jenayah(JSJ) akan mengesan sebarang ancaman atau ugutan terhadap Tengku Maimun di dalam pelbagai medium laman sosial, termasuk aplikasi Twitter dan Facebook sejak tengah malam tadi.

"Sebarang tindak tanduk membabitkan isu keselamatan dan ketenteraman awam yang boleh mengganggu-gugat keamanan akan diambil tindakan segera oleh pihak polis.

"Saya sudah mengarahkan JSJ Bukit Aman memulakan siasatan dengan meneliti segala ancaman serta ugutan terhadap Ketua Hakim Negara dan siasatan sama turut membabitkan Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT)," katanya ringkas pada Jumaat.

Acryl Sani berkata, pihaknya sama sekali tidak akan berkompromi terhadap sebarang isu melibatkan ketenteraman umum.

"PDRM tidak akan bertolak ansur dengan sebarang perkara membabitkan isu keselamatan dan ketenteraman awam yang boleh mengganggu-gugat keamanan," tegasnya.

Dalam pada itu, difahamkan PDRM turut bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk mengesan individu yang mengeluarkan kenyataan berbentuk ancaman dan ugutan terhadap Ketua Hakim Negara itu.

Pada Jumaat, tular di Facebook berkaitan satu hantaran yang berbaur ugutan terhadap Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat.

Hantaran tersebut dipercayai telah dimuat naik oleh seorang individu menerusi laman sosial Facebook.