UNI-MLC desak dedah laporan siasatan isu kontroversi negara

Mohamed Shafie
Mohamed Shafie
A
A
A

SHAH ALAM - Majlis Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (UNI-MLC) mendesak agar segala bentuk siasatan termasuk laporan dalaman bagi isu-isu kontroversi yang melanda negara didedahkan kepada umum.

Presidennya, Datuk Mohamed Shafie BP Mammal berkata, pendedahan itu perlu dibuat kerana rakyat juga berhak mengetahui kebenaran untuk menilai baik dan buruk sesuatu isu yang timbul.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas dakwaan Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli berkenaan siasatan dalaman oleh Boustead Heavy Industries Corporation Bhd ke atas projek kapal tempur pesisir (LCS) yang mendapati RM192 juta telah dipindahkan ke akaun syarikat-syarikat pesisir luar pantai yang tidak dapat dijejaki.

“Rafizi mendakwa telah melihat laporan siasatan tersebut, namun beliau tidak mendedahkannya kepada umum.

“Ini menimbulkan tanda tanya sama laporan berkenaan sahih atau tidak.

Jika Rafizi mempunyai bukti yang kukuh dan sahih, maka beliau perlu buat laporan dan pendedahan serta tidak boleh lagi seolah-olah nak beri teka-teki kepada rakyat.

“Sekiranya laporan tersebut wujud dengan fakta, bukan emosi, kita mendesak agar beliau berani tampil ke hadapan membuat laporan dan dedahkannya.

Jika ada bukti, kenapa tidak (dedahkan)?” katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Menurut Mohamed Shafie, tindakan Rafizi yang sekadar memberitahu tetapi tidak mendedahkan laporan yang diterima kepada umum hanya akan mengelirukan rakyat.

“Tidak guna hanya sekadar beritahu beliau ada dan simpan maklumat, ini hanya akan membuat rakyat lebih keliru dan ia bukan satu tindakan yang bagus.

“Rafizi mempunyai banyak maklumat tetapi tidak mendedahkannya.

Maknanya, beliau tidak jujur.

“Jika benar ada, buat laporan jangan tunggu-tunggu lagi sebab rakyat perlu tahu kebenaran untuk menilai,” jelasnya.

Beliau berkata, kontroversi yang melibatkan nama dan reputasi kerajaan seperti isu LCS itu perlu diambil sebagai pengajaran.

Ujarnya, kerajaan juga diharapkan dapat bertindak tegas dengan melaksanakan proses semak dan imbang dalam pelaksanaan sesuatu projek.

“Kerajaan perlu bertindak dengan mempunyai semak dan imbang kerana dakwaan yang dibuat telah menjejaskan reputasi kerajaan.

“Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Jabatan Audit Negara dan Ketua Setiausaha Negara (KSN) semuanya kena ambil tindakan,” tegasnya.