Kumpulan pemuzik jalanan miliki pokok ganja ditahan

Tiga pokok ganja dan 17 paket plastik lut sinar berisi ketulan mampat daun kering
ganja ditemui dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Bukit Lembu, Kedawang, pada Jumaat. Foto: Ihsan Polis Langkawi
Tiga pokok ganja dan 17 paket plastik lut sinar berisi ketulan mampat daun kering ganja ditemui dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Bukit Lembu, Kedawang, pada Jumaat. Foto: Ihsan Polis Langkawi
A
A
A

LANGKAWI - Tiga ahli kumpulan pemuzik jalanan (buskers) ditahan bersama tiga pokok ganja dan ketulan mampat bahan itu dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Bukit Lembu, Kedawang, di sini pada Jumaat.

Dalam serbuan kira-kira jam 1.30 pagi itu, tiga suspek termasuk seorang wanita berusia antara 24 hingga 26 tahun ditahan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Langkawi.

Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari berkata, tumbuhan disyaki pokok ganja ditanam dalam pasu ditemui di hadapan rumah.

“Selain itu, kita turut menemui beg berzip berwarna hijau yang mengandungi 17 paket plastik lut sinar berisi ketulan mampat daun kering dadah jenis ganja seberat 178.14 gram.

“Peralatan menghisap ganja dan alat timbangan digital turut ditemui atas lantai ruang tamu di rumah terbabit,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Shariman berkata, kesemua barang dan suspek dibawa ke balai polis untuk tindakan selanjutnya.

Katanya, kesemua suspek didapati positif dadah jenis tetra hydrocannibol (THC) melalui ujian saringan awal air kencing.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 39A(2), 6B dan 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.