'AS Roma tak ada stadium, tapi nilai RM2 bilion'

Norizam bergambar di hadapan Stadium Manchester City. Stadium ini disewakan oleh Manchester City Council kepada Manchester City. Foto FB Zamsaham
Norizam bergambar di hadapan Stadium Manchester City. Stadium ini disewakan oleh Manchester City Council kepada Manchester City. Foto FB Zamsaham
A
A
A

PEMILIK Kelantan FC, Norizam Tukiman berpendapat tanda harga tinggi yang diletakkan ke atas sebuah pasukan tidak semestinya bergantung kepada pemilikan stadium semata-mata.

Sebaliknya, beliau menerusi hantaran di Facebooknya menjelaskan, banyak syarikat ketika ini menggunakan bisnes model asset light untuk menilai petunjuk prestasi utama (KPI) pendapatan mereka.

Beliau berkata, ada banyak faktor lain yang menjadi penentu kepada nilai sesebuah pasukan itu kerana tidak bermakna untuk ada stadium sekiranya pasukan itu tidak wujud lagi.

“Tidak semestinya Grab perlu beli banyak kereta untuk buat bisnes teksi. Tidak semestinya saya perlu buat Hotel Zamburger dari scratch sedangkan saya boleh beli sahaja bisnes hotel tanpa perlu keluarkan duit nak bina bangunan atau pengubahsuaian,” katanya.

Justeru Norizam memberitahu, perancangannya adalah bermula dengan memajak stadium sedia ada, namun beliau tidak menolak hasrat untuk membina stadium sendiri pada masa depan.

“Saya dengar cerita kerajaan Kelantan nak buat stadium baharu. Ianya suatu berita baik. Saya ingat kalau ada rezeki nak mencadangkan stadium baharu nanti disiapkan oleh kerajaan negeri dan penyelenggaraan dikelolakan oleh TRW Kelantan FC.

“Kita boleh tiru cara Inter Milan atau Manchester City. Stadium milik kerajaan disewakan jangka masa panjang. Kedua-dua pihak menang-menang.

“Di mana kelab jimat kos, manakala kerajaan negeri dapat pendapatan melalui sewa jangka masa panjang. Harta aset stadium kekal milik kerajaan,” katanya.

Menurut Norizam, beberapa kelab terkemuka Eropah seperti Manchester City, Chelsea, Newcastle, Inter Milan dan AS Roma juga tidak memiliki stadium sendiri, namun nilai pasukan itu tetap tinggi.

“Siapa kata wajib untuk ada Stadium baru nilai syarikat besar? AS Roma sudahpun diapungkan di pasaran saham dan nilainya ketika ini sekitar RM2 bilion. Tidak ada stadium sendiri, sebaliknya hanya sewa atau pajak jangka masa panjang dengan kerajaan tempatan.

“Begitu juga dengan Chelsea, Newcastle, Inter Milan dan Manchester City. Ada juga stadium yang sama dikongsi oleh pasukan pesaing seperti AS Roma dan Lazio.

“Kalau business (perniagaan) utamanya adalah property (hartanah), maka aset stadium adalah keutamaan. Kalau nak buat, kos stadium sangat tinggi mungkin perlu pinjaman bank dan ianya akan membebankan kelab.

“Lebih lagi kalau terkena macam Covid-19, fans (penyokong) dilarang masuk, langsung tiada income (pendapatan),” katanya.