Hanya 4 gambar pembesar boleh dipamer: Mohd Amar

Mohd Amar Nik Abdullah
Mohd Amar Nik Abdullah
A
A
A

KOTA BHARU - Hanya empat gambar pembesar negeri dibenarkan untuk dipamerkan di semua premis kerajaan negeri dan Persekutuan di Kelantan berdasarkan surat yang dikeluarkan oleh pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), kata Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah.

Beliau berkata gambar-gambar tersebut ialah Sultan Kelantan Sultan Muhammad V, Tengku Mahkota Kelantan Tengku Muhammad Faiz Petra, ayahanda baginda Sultan Ismail Petra dan Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakub.

“Ini yang saya faham daripada surat yang dikeluarkan pejabat SUK Isnin lepas. Lain daripada itu saya tidak tahu, bergantung kepada pejabat kerajaan Persekutuan. Saya nak tafsir pun tidak pandai... sebab itu kena rujuk kepada orang yang buat surat kerana dia yang lebih tahu pasal kandungan surat itu,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Mohd Amar mengesahkan surat itu adalah benar dan mempunyai tandatangan daripada pejabat SUK.

Timbalan SUK Datuk Adnan Hussin dalam satu pekeliling yang dikeluarkan pada 1 April lepas mengarahkan hanya empat gambar pembesar negeri digantung di semua premis kerajaan negeri dan Persekutuan manakala gambar-gambar selain itu adalah dilarang, dan pekeliling itu kemudiannya menjadi tular di media sosial sejak Isnin lepas, malah ada yang mempertikai kesahihannya. - Bernama

Artikel Berkaitan: