Guru rugi RM448,000 diperdaya Macau Scam

PDRM
PDRM
A
A
A

SETIU – Seorang guru wanita berusia 45 tahun kerugian RM448,000 selepas terpedaya dengan sindiket Macau Scam yang menyamar sebagai pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Superintendan Afandi Hussin berkata, kejadian bermula 22 Mac lalu apabila mangsa menerima panggilan dari individu tidak dikenali mengaku sebagai pegawai LHDN ketika berada di sekolah.

Menurutnya, suspek mendakwa mangsa mempunyai tunggakan cukai dan terdapat syarikat yang didaftarkan di bawah namanya namun mangsa menafikan perkara tersebut.

“Panggilan mangsa kemudian disambung kepada individu yang mengaku dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuantan dan pegawai polis Bukit Aman menyatakan mangsa terlibat dalam pengubahan wang haram serta penyalahgunaan dadah.

“Suspek mengarahkan mangsa memuat turun aplikasi Bank Negara Malaysia (BNM) dan mangsa yang ketakutan telah mengisi maklumat peribadi serta data perbankan miliknya di dalam aplikasi berkenaan,” katanya di sini pada Jumaat.

Afandi berkata, suspek turut mengarahkan mangsa membuat pinjaman kononnya bagi mengatakan wang tersebut merupakan dana bersih untuk siasatan.

Katanya, mangsa menuruti arahan suspek membuka akaun bank sebelum pinjamannya diluluskan dan guru berkenaan sekali lagi mengisi maklumat perbankan baru dibuka ke dalam aplikasi BNM yang diberikan suspek.

Bagaimanapun jelas beliau, mangsa menyedari dirinya menjadi mangsa penipuan selepas melayari laman web IPK Kuantan yang menyebut terdapat aktiviti ‘scammer’ seperti dialaminya pada 11 Ogos lalu.

“Mangsa telah membuat semakan ke dalam akaun banknya namun mendapati wang berjumlah RM448,000 telah hilang lalu membuat laporan polis,” katanya.

Menurut Afandi, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dan beliau menasihati orang ramai supaya sentiasa berhati-hati bagi mengelak dari menjadi mangsa penipuan.

“Jangan mudah percaya dengan individu yang mengaku dari mana-mana agensi kerajaan mahupun perbankan kerana tiada agensi kerajaan, mahkamah atau bank yang berurusan melalui panggilan telefon.

“Lebih penting jangan panik dan terpedaya dengan arahan dinyatakan di pemanggil untuk menyelesaikan dakwaan mereka sebaliknya letak telefon dan buat semakan dengan pihak terbabit terlebih dahulu,” katanya.