Kilang haram kitar semula bateri diarah henti operasi

Kilang kitar semula bateri kadmium dan lithium terpakai di Ara Kuda diserbu JAS Pulau Pinang pada Khamis.
Kilang kitar semula bateri kadmium dan lithium terpakai di Ara Kuda diserbu JAS Pulau Pinang pada Khamis.
A
A
A

BUKIT MERTAJAM - Sebuah kilang kitar semula bateri kadmium dan lithium terpakai yang beroperasi secara haram dalam kilang plastik di Ara Kuda di sini, terbongkar selepas diserbu Jabatan Alam Sekitar (JAS) Pulau Pinang pada Khamis.

Pengarahnya, Sharifah Zakiah Syed Sahab berkata, siasatan dilakukan mendapati kilang terbabit menjalankan aktiviti pengolahan dan pemerolehan kembali bateri kadmium dan lithium terpakai tanpa lesen.

Menurutnya, tindakan Penahanan Operasi Kelengkapan (POK) di bawah Seksyen 38(1)(a), Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dikenakan terhadap pengurusan kilang terbabit serta-merta.

"Tindakan itu diambil bagi menghentikan aktiviti pemanasan serta pembakaran buangan terjadual daripada terus berlaku yang boleh mengakibatkan pencemaran udara.

"Sebanyak 250 bekas yang mengandungi buangan bateri lithium-kadmium terpakai telah disita dalam operasi tersebut," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Sharifah Zakiah berkata, berdasarkan siasatan awal mendapati premis terbabit dipercayai dimiliki oleh warga China manakala bahan buangan telah dibawa masuk melalui kargo udara.

Premis akan disiasat di bawah Seksyen 34B Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.
Premis akan disiasat di bawah Seksyen 34B Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

Jelasnya, penggunaan kargo udara itu dipercayai digunakan bagi mengelakkan pemeriksaan ketat kontena melalui jalan laut.

Katanya, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 18(1) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 kerana beroperasi tanpa lesen yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga dua tahun.

Selain itu, kes terbit juga disiasat mengikut Seksyen 34A(A), akta yang sama atas kesalahan menjalankan aktiviti kitar semula buangan terjadual tanpa mengemukakan laporan penilaian impak alam sekitar (EIA) dan memperoleh kelulusan EIA terlebih dahulu.

"Premis itu juga akan disiasat di bawah Seksyen 34B Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 yang memperuntukkan denda maksimum RM500,000 dan hukuman penjara maksimum 5 tahun.

"Sebanyak 93 kompaun dengan nilai keseluruhan RM186,000 juga dikeluarkan kepada premis atas kesalahan menjalankan pemerolehan kembali buangan terjadual bukan di premis yang ditetapkan di bawah Peraturan-peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005," katanya.

Dalam pada itu, beliau mengingatkan tindakan tegas akan diambil sekiranya terdapat pihak yang tidak bertanggungjawab dalam melakukan jenayah alam sekitar atau pelanggaran Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan peraturan-peraturan di bawahnya.