'Saya benar-benar terdesak'

Najib. (kiri) Tangkap layar kenyataan dimuat naik Najib di laman Facebooknya.
Najib. (kiri) Tangkap layar kenyataan dimuat naik Najib di laman Facebooknya.
A
A
A

SHAH ALAM – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengakui tidak berasa malu untuk menyatakan dirinya benar- benar terdesak kini berikutan tidak dapat mempertahankan diri dengan adil selepas permintaan peguam belanya Hisyam Teh Poh Teik untuk mengecualikan diri ditolak Mahkamah Persekutuan.

“Saya tidak malu untuk menyatakan, saya terdesak.

“Saya kini berada dalam situasi di mana hak untuk mendapatkan peguam dan perbicaraan yang adil cuma ilusi.

“Ini kerana saya membuat keputusan yang difikir adalah untuk kepentingan terbaik pada masa itu,” katanya dalam catatan di laman Facebook pada Khamis.

Najib menjelaskan bukan niatnya untuk menangguhkan proses mahkamah.

“Bukan niat saya untuk melengah-lengahkan proses mahkamah tetapi kerana permohonan Peguam Diraja dari United Kingdom (UK) Jonathan James Laidlaw akhirnya ditolak kurang dari sebulan sebelum tarikh yang dijadualkan.

“Justeru keperluan untuk penglibatan peguam baru muncul secara tiba-tiba. Mana-mana pasukan baru yang membawa idea baru memerlukan masa,” katanya.

Menurut Najib, penemuan keterangan yang berkaitan dengan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali memerlukan peguam baru untuk tampil meneliti secara bebas dakwaan itu dan mengemukakan di hadapan Mahkamah tersebut dalam keadaan yang paling tidak berat sebelah.

“Malangnya, Mahkamah Tinggi menolak permohonan Laidlaw untuk menjadi peguam saya.

“Dengan penolakan Mahkamah Tinggi dan rayuan ini telah ditetapkan, saya tidak boleh menghadapi risiko penolakan Laidlaw dikekalkan semasa rayuan, menyebabkan saya tiada peguam tambahan yang pada masa ini adalah penting untuk berhujah secara bebas mengenai isu berkenaan hakim Nazlan,” ujarnya.

Jelas Najib lagi, Datuk Mohd Zaid Ibrahim yang pernah menghubungi dirinya suatu masa dahulu, berkata beliau boleh membawa masuk kepakaran undang-undang dari India melalui rakan kongsinya dari Singapura, Niru Pillai.

“Saya kemudiannya diperkenalkan kepada dua peguam kanan dari India, yang pada mulanya menarik perhatian saya dengan idea mereka.

“Akhirnya, mereka melakukan kerja belakang tabir manakala firma Zaid memudahkan proses mahkamah.

“Zaid dan pasukannya datang dengan syarat, pengambilan mereka mesti termasuk firmanya diletakkan sebagai peguam cara dalam rekod dan peguam tempatan yang baru akan menyertainya,” jelasnya.