UMNO gesa SPRM sahkan dokumen tular babitkan Mohd Nazlan

Kenyataan daripada perkongsian Twitter Ahmad Maslan pada Khamis.
Kenyataan daripada perkongsian Twitter Ahmad Maslan pada Khamis.
A
A
A

SHAH ALAM - UMNO menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) supaya mengesahkan atau menafikan keabsahan satu dokumen tular

berkaitan siasatan kes membabitkan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, dokumen tersebut dipercayai merupakan kertas siasatan yang mendakwa ada berlakunya kesalahan di bawah Seksyen 220 Kanun Keseksaan.

Ujarnya, SPRM melalui kenyataan pada 21 Mei telah mengesahkan bahawa siasatan mengenai kes membabitkan Mohd Nazlan telah diselesaikan dan diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara untuk tindakan lanjut pada 18 Mei lalu.

“Memandangkan hakim-hakim Mahkamah Persekutuan bagi kes SRC International Sdn Bhd telah menolak permohonan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk memasukkan bukti dokumen bagi memeriksa percanggahan kepentingan Mohd Nazlan dan memandangkan kertas siasatan sudah berada di pihak Jabatan Peguam Negara sejak 3 bulan lalu, UMNO berpandangan bahawa pihak Jabatan Peguam Negara perlu mengumumkan sekiranya akan ada tindakan lanjut bagi kertas siasatan tersebut.

“Integriti institusi yang kita hormati perlu dilindungi dan UMNO amat berharap pihak SPRM dan Jabatan Peguam Negara akan menjelaskan kepada rakyat mengenai isu ini dalam masa terdekat,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.