Hanya 4 kes AEFI serius babit kanak-kanak di Perak

Mohd Akmal (tengah) ketika menyempurnakan perasmian penutup Program Central Forest Spine Showcase Bersama Pemegang-pemegang Taruh Peringkat Negeri Perak di Pusat Konvensyen Casuarina @ Meru, di sini pada Khamis.
Mohd Akmal (tengah) ketika menyempurnakan perasmian penutup Program Central Forest Spine Showcase Bersama Pemegang-pemegang Taruh Peringkat Negeri Perak di Pusat Konvensyen Casuarina @ Meru, di sini pada Khamis.
A
A
A

IPOH - Laporan kesan advers susulan imunisasi (AEFI) ke atas penerima vaksin Covid-19 di Perak bagi kanak-kanak hanya membabitkan empat kes sehingga 18 Ogos 2022.

Exco Kesihatan, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Perak, Mohd Akmal Kamarudin berkata, kes paling tinggi membabitkan dewasa sebanyak 135.

Menurutnya, bagi remaja pula, sebanyak 23 kes dicatatkan dalam tempoh yang sama.

"Di Perak sepanjang Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) dilaksanakan untuk kanak-kanak tak banyak. Ada empat kes keseluruhan.

"Sehingga 18 Ogos 2022, jumlah keseluruhan bilangan kes AEFI Covid-19 yang dikategorikan serius adalah sebanyak 152 kes," katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan perasmian penutup Program Central Forest Spine Showcase Bersama Pemegang-pemegang Taruh Peringkat Negeri Perak di Pusat Konvensyen Casuarina @ Meru, di sini pada Khamis.

Pada 5 Ogos lalu, Kementerian Kesihatan (KKM) melaporkan hanya menerima 31 kes AEFI yang diklasifikasikan sebagai serius membabitkan kanak-kanak, setakat ini.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali berkata, jumlah itu diperoleh daripada keseluruhan 1.76 juta atau 49.8 peratus kanak-kanak berusia lima tahun hingga 11 tahun yang sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin Covid-19.

Menurutnya, kesemua kes AEFI serius itu bagaimanapun telah pulih dan dibenarkan pulang selepas menerima rawatan lanjut di hospital.