PH jamin siasat semula skandal LCS jika diberi mandat

PH memberi jaminan akan menyambung kembali siasatan berhubung skandal LCS. (Gambar kecil: Teo Nie Ching, Fahmi Fadzil, Khalid Samad)
PH memberi jaminan akan menyambung kembali siasatan berhubung skandal LCS. (Gambar kecil: Teo Nie Ching, Fahmi Fadzil, Khalid Samad)
A
A
A

SHAH ALAM - Pakatan Harapan (PH) memberi jaminan akan menyambung kembali siasatan berhubung skandal kapal tempur pesisir (LCS) yang sebelum ini dihentikan oleh kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN), sekiranya diberi mandat pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

PH dalam satu kenyataan bersama berkata, pihaknya akan melaksanakan segala strategi yang dikemukakan melalui Kertas Putih Pertahanan yang telah dibentangkan sebelum ini.

Tambah PH, pihaknya juga akan memastikan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) mendapat layanan terbaik dan kelengkapan sesuai untuk menjalankan tugas kepada negara.

“Dalam Kertas Putih Pertahanan (KPP) yang dibentang oleh Menteri Pertahanan ketika PH memerintah negara, TLDM mengharapkan mereka mempunyai LCS dilengkapi helikopter yang memiliki keupayaan peperangan anti udara, anti permukaan anti kapal selam. LCS juga diharapkan dapat menggantikan kapal frigat dan korvet yang telah berusia.

“Dengan terdedahnya apa yang berlaku kepada LCS, kami yakin pihak yang paling sedih dengan skandal ini adalah penggunanya iaitu warga TLDM sendiri selain rakyat negara ini.

“Justeru, kami (PH) berjanji akan menyambung kembali siasatan yang telah dihentikan oleh kerajaan PN dan BN selepas kami dijatuhkan, jika rakyat memberikan mandat semula kepada kami dalam pilihan raya umum akan datang,” katanya kenyataan tersebut pada Khamis.

Kenyataan bersama itu dikeluarkan oleh Pengarah Komunikasi PH, Fahmi Fadzil, Setiausaha Publisiti DAP, Teo Nie Ching dan Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (Amanah), Khalid Samad.

Dalam kenyataan sama, mereka turut melahirkan rasa kesal dengan tindakan kepimpinan UMNO sebelum ini yang melayan TLDM secara 'Take it or Leave it' apabila memesan kelengkapan ketenteraan tanpa mengambil kira keperluan penggunanya, malah yang dipentingkan adalah mendapat projek untuk kroni bukannya memenuhi keperluan tentera negara.

“Pendedahan laporan Jawatankuasa Kira-kira Awam (PAC) bahawa Menteri Pertahanan ketika itu (2011), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengarah reka bentuk LCS ditukar dari SIGMA yang diperlukan TLDM kepada GOWIND yang dicadangkan oleh pembekal dari Perancis melalui Boustead Naval Shipyard (BNS) adalah contoh jelas tragedi ‘Take it or Leave it’ yang berlaku.

“Pembekal dari Perancis ini juga yang membekalkan Scorpean sebelum ini,” katanya.