Kabinet setuju laporan audit, forensik LCS didedahkan

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar. Foto Bernama.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar. Foto Bernama.
A
A
A

PUTRAJAYA - Kabinet pada Rabu secara prinsip bersetuju supaya Laporan Pengauditan Forensik Projek Kapal Tempur Pesisir (LCS) didedahkan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Bagaimanapun, katanya ia akan dibuat selepas perbincangan antara Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan pihak berkepentingan lain diadakan bagi membincangkan mekanisme pendedahan kerana terdapat isu sensitif yang tidak boleh didedahkan secara umum.

Wan Junaidi pada sidang media selepas Sambutan Bulan Kemerdekaan Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang di sini pada Rabu berkata, beliau berpendirian perkara sensitif yang melibatkan soal sekuriti tidak wajar didedahkan.

"Secara prinsip, Jemaah Menteri masih menekankan bahawa pendedahan itu bakal dibuat. Saya berpendirian benda sensitif, soal sekuriti patutnya tidak boleh didedahkan,” katanya amalan tersebut dipraktikkan di Amerika Syarikat dan England iaitu isu sensitif tidak akan didedahkan kepada umum bagi tujuan keselamatan.

Sebelum ini, Jemaah Menteri telah mencadangkan supaya Laporan Pengauditan Forensik Projek LCS yang dijalankan pada 2019 dinyahklasifikasikan, namun proses itu perlu mendapat nasihat dan pandangan Peguam Negara dan Ketua Audit Negara terlebih dahulu.

Wan Junaidi juga tidak menolak kemungkinan bahawa kerajaan akan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) untuk menyiasat isu LCS.

"Perdana Menteri (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob) tadi (semasa mesyuarat kabinet) ada sebut satu lagi (mengenai RCI LCS). Jadi maknanya belum tertutup lagi soalan itu (RCI LCS), walaupun dianggap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah buat yang terbaik,” katanya.

Hishammuddin ketika menggulung perbahasan usul berkaitan isu LCS di Dewan Negara semalam berkata beliau memberikan jaminan akan membawa sendiri usul RCI LCS untuk mendapat persetujuan Jemaah Menteri pada Rabu.

Hishammuddin berkata demikian bagi menjawab cadangan beberapa Ahli Dewan Negara yang menggesa kerajaan menubuhkan RCI untuk menyiasat isu LCS bagi meneliti segala aspek agar tidak ada pihak yang bersalah terlepas daripada dakwaan.

Wan Junaidi berkata, SPRM masih perlu mengemas kini kertas siasatan berkaitan kes LCS sebelum dikembalikan ke Jabatan Peguam Negara untuk diputuskan bagi membolehkan individu lain pula mungkin bakal didakwa.

"Bagaimanapun tadi ada bincang dalam kabinet dan keputusan kabinet adalah terbuka. Siasatan SPRM diteruskan dan kabinet menegaskan sekali lagi bahawa kami tidak akan melindungi sesiapa pun dalam isu LCS,” katanya.

Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) sebelum ini mendedahkan sembilan prosiding berhubung isu LCS bermula 18 November 2020 dan mendapati tiada satu kapal LCS telah disiapkan walaupun kontrak projek itu yang diberikan secara rundingan terus bernilai RM6.083 bilion itu memperuntukkan lima kapal seharusnya disiapkan dan diserah setakat Ogos 2022. - Bernama.