Rombak semula fungsi LTAT

Bangunan LTAT - Foto Bernama (Gambar kecil: Wong Hon Wai)
Bangunan LTAT - Foto Bernama (Gambar kecil: Wong Hon Wai)
A
A
A

GEORGETOWN - Kerajaan disarankan supaya merombak fungsi Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) terutamanya melibatkan projek berkos tinggi seperti perolehan kontrak kapal tempur pesisir (LCS).

Ahli Parlimen Bukit Bendera, Wong Hon Wai berkata, Tabung LTAT adalah berfungsi untuk mengadakan faedah persaraan bagi anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Beliau berkata, ia tidak harus digunakan sebagai satu alat oleh kerajaan Persekutuan untuk menjalankan projek-projek strategik miliknya.

"Tabung itu sepatutnya berfungsi seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk pelaburan strategik dan tidak melibatkan diri secara terus atau melalui anak syarikatnya dalam projek-projek berisiko tinggi selain mempunyai implikasi kewangan yang tinggi.

"Oleh itu, saya menyarankan agar fungsi LTAT dirombak semula supaya ia menepati objektif penubuhannya iaitu membantu pesara ATM, dan bukannya digunakan untuk menjalankan projek strategik milik kerajaan," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Menurutnya, Lembaga LTAT seharusnya dipenuhi dengan ahli-ahli profesional dalam pelaburan, kewangan serta ekonomi dan bukan menjadi satu 'revolving door' dan dipenuhi oleh ahli politik yang bersara atau Panglima Angkatan Tentera yang bersara.

"Kerajaan perlu menzahirkan implikasi kewangan untuk penyambungan enam buah LCS dan bagaimana pendanaan (financing) untuk penyambungan projek serta dari mana dana kewangan tersebut.

"Mekanisme pemantauan rapi oleh kerajaan terhadap penyambungan projek LCS dan pemantauan oleh Parlimen melalui Jawatankuasa Kira-kira Wang Parlimen (PAC) serta Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen Pertahanan dan Keselamatan juga perlu diadakan," katanya.

Jelasnya, Malaysia telah mendapat kedudukan yang lemah iaitu D dalam Government Defence Integrity Index (GDI) oleh Transparency International.

"Parlimen perlu melihat kepada mekanisme defence procurement (pembelian pertahanan) yang telus dan memenuhi keperluan ATM.

"Para veteran ATM telah menghantar banyak memorandum berkenaan tuntutan kebajikan mereka. Sekiranya tiada ketirisan atau kepincangan dalam pelaksanaan projek LCS, maka wang tersebut boleh digunakan untuk memenuhi dan mempertingkatkan kebajikan mereka dan dividen LTAT dapat ditingkatkan setanding dengan KWSP," katanya.

Hon Wai berkata, sehingga kini, kerajaan belum menzahirkan kepada awam anggaran perbelanjaan tambahan yang diperlukan untuk meneruskan projek enam buah LCS.

"Dalam Laporan Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan, ia menyatakan aliran tunai syarikat Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS) sehingga 31 Mei 2019 dilihat amat lemah dengan hutang bank sebanyak RM956.89 juta dan hutang kepada pembekal serta pengeluaran produk tulen (OEM) adalah RM801.11 juta.

"Perolehan enam buah LCS dilaksanakan melalui rundingan terus dengan syarikat BNS dengan had bumbung asal berjumlah RM9 billion dan dipinda kepada RM9.13 billion.

"Sehingga sekarang, kerajaan masih tidak dapat menzahirkan kepada awam anggaran perbelanjaan tambahan yang diperlukan untuk meneruskan projek enam buah LCS tersebut," katanya.

Beliau berkata lagi, isu itu dibangkitkan adalah kerana ia jelas menunjukkan BNS berada dalam keadaan kewangan yang lemah dan tidak dapat menyambung projek itu melainkan menggunakan dana tambahan kerajaan.

"LTAT memegang 61 peratus daripada saham BNS dan mempunyai 'direct interest' dalam perkara ini. Saya telah membangkitkan dalam perbahasan bahawa satu Seksyen 25 yang baru untuk Rang Undang-Undang Pindaan LTAT telah dimasukkan.

"Saya membantah berkenaan seksyen ini kerana ia adalah satu seksyen penyelamat (bail-out) menggunakan Dana Kerajaan Persekutuan terhadap projek-projek LTAT yang gagal disempurnakan seperti projek LCS.

"Seperti dimaklumkan oleh kerajaan di Dewan Rakyat, kekuatan Tabung LTAT mempunyai RM10 bilion dan saya menyatakan pindaan seksyen ini memberikan satu petanda bahawa LTAT tidak dapat menguruskan kewangan dengan baik. "Selain itu, ia memerlukan klausa ini supaya Kumpulan Wang Disatukan Persekutuan perlu menyelamatkan Tabung LTAT," katanya.