'Tidakkah mahkamah mahu tahu apakah bukti itu?'

Asyraf Wajdi
Asyraf Wajdi
A
A
A

SHAH ALAM - Mahkamah Persekutuan seharusnya memberikan peluang kepada peguam Datuk Seri Najib Tun Razak untuk mengemukakan bukti baharu mengenai kes penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, hak mahkamah sememangnya perlu dihormati, tetapi keputusan menolak kemuka bukti hanya atas sebab teknikal sudah pasti merencatkan hak Najib.

"Keputusan Mahkamah Persekutuan untuk menolak bukti-bukti baru dalam kes Datuk Seri Najib Razak sudah tentulah mengecewakan. Saya secara peribadi sebagai individu yang pernah menerima mentorship beliau sepanjang tiga tahun menjadi Timbalan Menteri juga merasakan perkara yang sama.

"Sekiranya bukti-bukti ini tidak kuat sekalipun, biarlah peguam Najib mengemukakannya terlebih dahulu. Tidakkah mahkamah mahu tahu apakah bukti itu? Tidakkah kita semua juga mahu tahu apa yang sebenar-benarnya berlaku?

"Dan pada akhirnya jika bukti-bukti ini mahu ditolak juga, maka tolaklah atas sebab kelemahan bukti ini sendiri. Bukannya atas sebab teknikal yang sebenarnya boleh ditimbang atas budi bicara," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Pada Selasa, cubaan pasukan pembelaan Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan untuk menangguhkan perbicaraan berhubung rayuan akhir kes penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd menemui jalan buntu apabila ditolak Mahkamah Persekutuan.

Mahkamah Persekutuan pada hari sama turut menolak permohonan Najib memasukkan bukti tambahan membabitkan kedudukan Hakim Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali dengan hujah bahawa ia tidak relevan dengan prosiding rayuan ini.

Asyraf Wajdi berkata, dalam Islam sendiri meletakkan keadilan pada tempat yang tertinggi kepada hak mangsa atau hak tertuduh itu sendiri.

"Setiap orang diberikan hak seluas-luasnya untuk membela diri. Atas sebab ini, UMNO pada zaman Najib sendiri tidak pernah mengganggu sebarang proses mahkamah.

"Termasuklah dalam kes Liwat 2.0 Datuk Seri Anwar Ibrahim. Walaupun kes itu berjalan hampir tujuh tahun dan ditangguh lebih 70 kali. UMNO percaya itu adalah hak tertuduh untuk mendapatkan masa dan ruang bagi membela diri dengan sebaiknya," katanya.

Beliau juga menjelaskan bimbang dengan persepsi rakyat terhadap institusi keadilan susulan situasi tersebut.

"Tuntutan Pemuda UMNO sebelum ini bagi mewujudkan tribunal khas bagi menyiasat konflik kepentingan Hakim Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali juga bagaikan dipandang sepi pihak berkenaan.

"Sedangkan kebebasan hakim itu adalah asas kepada wujudnya keadilan. Kita sudah tentu tidak mahu persepsi buruk rakyat terhadap sistem kehakiman seperti dekad 80-an dan 90-an berulang.

"Saya percaya akan ada hikmah yang ALLAH akan datangkan. Buat Datuk Seri Najib, sekiranya ini adalah ujian maka percayalah Dia tidak pernah menguji hambanya melainkan sesuai dengan kemampuan mereka.

"Apa juga yang berlaku, rakyat pasti tidak akan lupa siapa yang telah membawa negara ini ke satu aras yang tidak pernah tercapai sebelumnya," katanya.