Najib ada pilihan terhad sebelum prosiding rayuan akhir esok

Najib tiba di Mahkamah Persekutuan pada Isnin bagi perbicaraan rayuan sabitan dan hukuman penjara ke atas beliau berhubung penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd, berjumlah RM42 juta. - Foto Bernama
Najib tiba di Mahkamah Persekutuan pada Isnin bagi perbicaraan rayuan sabitan dan hukuman penjara ke atas beliau berhubung penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd, berjumlah RM42 juta. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Tun Razak mempunyai pilihan yang sangat terhad sebelum prosiding rayuan akhir untuk mengetepikan sabitan, hukuman dan denda berhubung kes penyelewengan dana syarikat SRC International Sdn Bhd, bermula pada Khamis.

Peguam Datuk Geethan Ram Vincent berkata, sebelum mahkamah mula mendengar rayuan akhir daripada peguam, Hisyam Teh Poh Teik, Najib mempunyai pilihan sama ada membuat permohonan penangguhan baharu atau meneruskan prosiding itu sebagaimana diperintahkan oleh mahkamah.

Ketika dihubungi media, Geethan berkata, Hisyam boleh membuat permohonan terakhir untuk menangguhkan prosiding itu, menggunakan alasan terdahulu, iaitu memerlukan masa yang panjang untuk persediaan.

“Jika mahkamah mengekalkan keputusan sama, barisan peguam Najib perlu meneruskan prosiding mengikut yang dijadualkan oleh Mahkamah Persekutuan,” katanya.

Pada Selasa, Sinar Harian melaporkan, Mahkamah Persekutuan di Putrajaya menolak permohonan Najib untuk menangguhkan rayuan akhir kes itu.

Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat yang mengetuai lima panel hakim menyatakan demikian selepas Hisyam mengemukakan permohonan secara lisan untuk menangguhkan prosiding tersebut.

Tengku Maimun yang bersidang bersama empat panel hakim iaitu Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Datuk Abang Iskandar Abang Hashim serta tiga Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Nallini Pathmanathan, Datuk Mary Lim Thiam Suan dan Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah kemudiannya menetapkan prosiding berjalan seperti biasa pada Khamis.