Halang GLIC miliki pelaburan strategik lebih 30 peratus

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Ahli Lembaga Pengarah Pusat PerakaunanProfesional Malaysia (MyPAC), Datuk Nik Mohd Hasyudeen Yusoff mencadangkan supaya undang-undang diwujudkan bagi menghalang syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) daripada memiliki pelaburan strategik melebihi 30 peratus dalam mana-mana syarikat.

Jelasnya, kepakaran pengurusan GLIC seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) atau Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) ialah menguruskan pelaburan, bukannya menguruskan perniagaan.

Disebabkan ketiadaan kepakaran itu, Nik Mohd Hasyudeen yang juga bekas Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Tabung Haji berkata, ia boleh menyebabkan anak-anak syarikat GLIC menghadapi kerugian.

"Ini juga akan mengurangkan pengagihan kepada anak-anak syarikat GLIC yang kemudiannya disub-kontrakkan kepada pihak ketiga di atas alasan nak bagi keuntungan kepada GLIC tetapi anak-anak syarikatnya tak ada kepakaran," ciapnya di Twitter pada Rabu.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz sebelum ini dilaporkan berkata, ekosistem syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan GLIC akan terus menjadi antara elemen terpenting bagi merealisasikan visi Malaysia.

Beliau berkata, ini melihat kepada saiz dan pengaruh ekosistem tersebut dalam pembangunan sosio-ekonomi negara, sememangnya mustahak bagi GLIC dan GLC untuk terus distruktur dan ditambah baik.

Katanya, dalam perkara ini, kerajaan kini giat berusaha untuk menajamkan lagi fokus GLIC, terutamanya dalam menceburi industri baharu seperti yang berteraskan Revolusi Industri 4.0.