Orang ramai dijemput meriahkan Malaysia #QuranHour 2022

Hussamuddin
Hussamuddin
A
A
A

SHAH ALAM - Program Malaysia #QuranHour 2022 akan kembali dilangsungkan di lokasi perdana iaitu di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya pada 30 Ogos ini selepas dua tahun diadakan di Studio TV Alhijrah kerana kekangan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Covid-19.

Pengasas Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF), Datuk Hussamuddin Yaacub menjemput orang ramai untuk sama-sama memenuhkan Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin sekali gus mengambil manfaat daripada program yang telah masuk tahun kelapan itu.

"Kalau dulu, sebelum Covid-19 beribu-ribu orang datang untuk sama-sama membaca al-Quran. Namun, kerana Covid-19 kita terpaksa buat program tersebut di studio yang tidak boleh memuatkan ramai orang.

"Jadi, sekarang ini kita telah kembali buat di masjid, kalau 5,000 atau 6,000 orang nak datang pun tak ada masalah. Kita buka program ini kepada semua orang dan kita harap suasana itu kembali seperti sebelum Covid-19," katanya dalam Taklimat Media sempena Malaysia #QuranHour secara dalam talian pada Selasa.

Malaysia #QuranHour diadakan sempena Hari Kebangsaan Malaysia yang ke-65 dalam usaha menghayati surah al-Sajdah sekali gus membina negara Baldatun Toyyibatun Wa Rabbun Ghafur (negara baik yang mendapat keampunan Allah SWT) serta membentuk Keluarga Malaysia yang Teguh Bersama melalui formula sujud dan infak.

Malaysia #QuranHour dinaungi oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dengan kerjasama rakan sinergi termasuk Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Pusat Pelancongan Islam (ITC), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Majlis Pengarah-pengarah Perpustakaan Awam Semalaysia(MAPAM), Rumah Ngaji, Sahabah Al-Quran, badan kerajaan dan bukan kerajaan di dalam dan luar negara.

Dalam masa sama, Hussamuddin menjelaskan tema Malaysia Bersujud: Keluarga Malaysia Teguh Bersama dipilih bersesuaian dengan keadaan negara yang dipenuhi pelbagai masalah dan menuntut penyelesaian segera.

"Apa yang berlaku sekarang ini puncanya daripada kesombongan, sikap tidak sabar dan kita tidak sujud kepada ALLAH. Contohnya, pemimpin kita semakin sombong dan tidak ikut peraturan selain rakyat juga jadi taksub kepada manusia dan bukan kepada ALLAH.

"Ini menyebabkan kita berada dalam masalah dengan rasuah berleluasa selain tipu helah dan sebagainya. Kita berharap dapat pasak isi dalam surah al-Sajdah ini supaya mereka faham apa yang mereka buat ini ada yang boleh dan tidak boleh.

"Jika kita amalkan isi dalam al-Quran itu, maka kita akan berada di landasan yang betul dan negara akan berada dalam keadaan sejahtera," katanya.

Gambar dari kiri: Marhaini, Mohd Ashrudy
Gambar dari kiri: Marhaini, Mohd Ashrudy

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif WUIF, Marhaini Yusoff berkata selain diadakan di semua negeri, program kali ini juga akan turut sama dihadiri oleh wakil daripada luar negara.

"Kalau di setiap negeri, program ini bukan sahaja dibuat di masjid tetapi juga ada dibuat di dataran dan sebagainya. Ia kerana kita nak mendekati mereka yang mungkin tidak sempat datang ke masjid.

"Sekarang kita juga dah mula dapat pendaftaran daripada setiap negeri, MAPAM dan daripada luar negara. Untuk penyertaan luar negara kita melalui Kementerian Pendidikan dan kedutaan luar negara selain ITC sendiri," katanya.

Sementara itu, Penerbit Eksekutif TV Alhijrah, Mohd Ashrudy Borhan berkata, siaran langsung program tersebut akan disiarkan di TV Alhijrah seperti yang diadakan sebelum ini.

"Siaran yang kita akan terbitkan ini bersesuaian dan menepati cita rasa penonton. Selain itu, ada kelainan dalam persembahan dengan kali ini melibatkan tiga orang pentadabur, enam orang qari, seorang ulama dan dua orang hos.

"Seorang hos juga akan mengendalikan program karpet merah yang akan disiarkan menerusi Facebook Live TV Alhijrah pada jam 11.30 pagi dan akan tamat pada jam 11.50 pagi. Karpet merah ini akan memaparkan persediaan dan suasana pada hari tersebut," katanya.