Anak buruh ladang sawit dinobat pelajar cemerlang SMU

Chairul Amrie menunjukkan hadiah yang diterimanya selepas diumumkan sebagai antara pelajar cemerlang peperiksaan SMU 2021.
Chairul Amrie menunjukkan hadiah yang diterimanya selepas diumumkan sebagai antara pelajar cemerlang peperiksaan SMU 2021.
A
A
A

KOTA KINABALU - Walaupun berdepan masalah rangkaian internet lemah di kawasan kediaman sehingga menyukarkan proses pembelajaran, namun ia bukan penghalang buat Chairul Amrie Rudy, 17, beroleh kejayaan sekali gus dinobatkan sebagai salah seorang pelajar cemerlang bagi peperiksaan Sijil Menengah Ugama (SMU) pada 2021.

Chairul Amrie dari Sekolah Menengah Agama Negeri (SMAN) Kunak berjaya memperoleh keputusan tiga mumtaz (cemerlang) bagi subjek hafazan, tajwid dan qiraat serta dua lagi subjek lain turut mendapat jayyid jiddan (terbaik).

Dia bersyukur walaupun serba kekurangan dalam menuntut ilmu tetapi akhirnya berjaya membanggakan kedua ibu bapa, keluarga serta guru-gurunya.

"Banyak cabaran yang saya lalui termasuk terpaksa belajar dari rumah disebabkan pandemik Covid-19 dan keadaan liputan internet lemah kerana kawasan rumah kerana tinggal di kawasan estet di mana liputan internet kurang baik.

"Saya agak tertekan dengan masalah itu namun bersabar apabila mendapat sokongan daripada adik beradik termasuk menggunakan kaedah 'hotspot' rangkaian internet untuk menghantar tugasan kepada guru.

"Akhirnya, inilah keputusan yang saya dapat dan berhasrat akan mengekalkan kecemerlangan dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini," katanya ketika ditemui pemberita ketika hadir pada majlis pengumuman peperiksaan Sijil Menengah Ugama (SMU) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) 2021 di Wisma Muis, di sini, pada Selasa.

Katanya lagi, kesukaran dialami kedua ibu bapanya dalam membesarkan mereka enam beradik dijadikan sebagai motivasi untuk mencapai kecemerlangan dalam pendidikan.

"Bapa saya cuma bekerja sebagai buruh di ladang sawit manakala ibu suri rumah dan kami menetap di estet. Kadang-kadang bila melihat mereka susah bekerja demi kami, saya rasa ini cara untuk membalas kembali apa yang mereka sudah lakukan," katanya.

Sementara itu, Menteri Tugas-Tugas Khas Sabah, Datuk Mohd Ariffin Mohd Arif berkata, seramai 335 pelajar lulus dengan masing-masing mendapat pangkat mumtaz, jayyid jaidan, jayyid dan maqbul.

"Secara keseluruhan, terdapat sedikit penurunan iaitu 89.09 peratus bagi prestasi keputusan bagi SMU 2021 berbanding 89.42 peratus bagi 2020. Penurunan ini tidak signifikan atas beberapa sebab luar jangka melibatkan pandemik dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara.

"Namun dengan adanya penambahan guru JHEAINS baru-baru ini dan kenaikan elaun dapat menyuntik semangat guru meningkatkan semula prestasi pelajarnya," katanya.