Terima upah RM3,500 tipu rakan senegara

Kegiatan satu sindiket menjadikan sebuah kondominium sebagai 'call centre' terbongkar selepas premis itu digempur polis. - Foto PDRM
Kegiatan satu sindiket menjadikan sebuah kondominium sebagai 'call centre' terbongkar selepas premis itu digempur polis. - Foto PDRM
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kegiatan sebuah sindiket penipuan pekerjaan dalam talian terbongkar selepas markas mereka digempur polis dalam operasi di sebuah kondominium di Jalan Klang Lama di sini pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor berkata, seramai empat warga tempatan dan dua rakyat Indonesia dipercayai ahli sindiket ditahan dalam serbuan tersebut.

"Sindiket menjalankan aktiviti penyamaran 'call centre' aplikasi Shopee di premis tersebut untuk menjalankan penipuan tawaran kerja dalam talian dan dipercayai menyasarkan mangsa dari negara Indonesia.

"Kesemua tangkapan tersebut merupakan pekerja sindiket yang menerima gaji antara RM3,000 hingga RM3,500 sebulan dan diberikan komisen antara empat hingga lima peratus dari keseluruhan kutipan yang dilakukan dalam tempoh sebulan," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Amihizam berkata, sindiket tersebut dipercayai aktif sejak Julai lalu di premis tersebut dan pembayaran gaji diuruskan oleh seorang lelaki warga tempatan.

"Kesemua suspek yang ditahan telah bekerja antara satu bulan hingga empat bulan dan tawaran pekerjaan tersebut melalui laman sosial Facebook," katanya.

Beliau berkata, pasukan serbuan turut merampas sebanyak enam buah komputer riba, 12 unit telefon bimbit pelbagai jenama, dan 10 keping kad sim prabayar yang dipercayai digunakan untuk menjalankan penipuan berkenaan.

Katanya, suspek yang terdiri daripada dua lelaki dan wanita tempatan termasuk seorang lelaki serta wanita warga Indonesia ditahan untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.