Trek litar lumba Sungai Petani cecah RM85 juta

Muhammad Sanusi melakukan gimik menunggang motosikal menuju ke pentas utama semasa Majlis Pelancaran dan Menandatangani Perjanjian Projek Litar Lumba PKB Open Road SP Circuit Sungai Petani di Dataran Amanjaya Mall di sini, pada Isnin.
Muhammad Sanusi melakukan gimik menunggang motosikal menuju ke pentas utama semasa Majlis Pelancaran dan Menandatangani Perjanjian Projek Litar Lumba PKB Open Road SP Circuit Sungai Petani di Dataran Amanjaya Mall di sini, pada Isnin.
A
A
A

SUNGAI PETANI - Litar lumba bertaraf antarabangsa dengan nilai pembinaan trek mencecah RM85 juta bakal direalisasikan di Ambangan Heights di sini, setelah beberapa kali projek berkenaan tertangguh.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, kerajaan negeri berharap projek berkenaan dapat disiapkan sekurang-kurangnya enam bulan dari sekarang.

Menurut beliau, projek yang lengkap dengan beberapa komponen lain termasuk kawasan komersial, ruang pameran dan beberapa fasiliti lain bakal menjadikan Sungai Petani terkenal sebagai bandar permotoran di Kedah.

"Litar ini dibangunkan atas tanah milik Menteri Besar Incorporate (MBI) seluas 60 hektar oleh sebuah syarikat berpengalaman dalam bidang automotif dan permotoran, Open Road (SP Circuit) Sdn Bhd yang akan menjalankan kerjasama dengan Permodalan Kedah Berhad (PKB) merupakan anak syarikat MBI.

"Kita turut bersyukur kerana syarikat kerjasama PKB dan Open Road ini bersetuju melabur RM85 juta untuk menyiapkan litar dan membangunkan beberapa komponen lain termasuk kawasan komersial, ruang pameran, pusat jualan dan penyelenggaraan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyaksikan Majlis Pelancaran dan Menandatangani Perjanjian Projek Litar Lumba PKB Open Road SP Circuit Sungai Petani di Dataran Amanjaya Mall di sini pada Isnin.

Hadir sama, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Jelas Muhammad Sanusi, pembinaan litar lumba yang menjadi nadi baharu buat penduduk Sungai Petani amat ditunggu-tunggu kerana ia bakal memberi manfaat kepada generasi muda sekali gus membawa peminat sukan permotoran beraksi di litar yang dilengkapi ciri keselamatan.

Difahamkan, reka bentuk litar menggunakan khidmat pakar perunding dari luar negara yang berpengalaman bukan sahaja boleh digunakan oleh rakyat serta penduduk tempatan, malah direka khas bagi membolehkan kejohanan lumba motosikal peringkat antarabangsa turut berlangsung di situ.

Sebelum ini, cadangan pembinaan litar lumba di Kedah pernah hangat diperkatakan apabila dimasukkan ke dalam manifesto Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) lalu.

Pada 2014, kerajaan negeri ketika itu mengumumkan bahawa Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah bersetuju membangunkan sebuah kawasan di Sungai Petani sebagai litar yang boleh memberi manfaat kepada peminat sukan permotoran termasuk motocross.

Bagaimanapun, setelah beberapa kali kerajaan negeri bertukar tangan, projek litar lumba yang menerima peruntukan sebanyak RM30 juta dari kerajaan persekutuan ini masih tertangguh biarpun fasa satu iaitu proses meratakan tanah bagi menyediakan laluan trek telah pun selesai.