'Benarkan ahli Parlimen pembangkang masuk ke sekolah'

Hannah Yeoh
Hannah Yeoh
A
A
A

KUALA LUMPUR - Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin digesa segera mengeluarkan arahan membenarkan ahli Parlimen pembangkang masuk ke kawasan sekolah untuk lawatan tapak atau menghadiri majlis rasmi selaras dengan penggunaan peruntukan ahli Parlimen.

Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh berkata, dengan termeterai perjanjian Memorandum Persefahaman Transformasi dan Kestabilan Politik (MoU) antara kerajaan Persekutuan dan Pakatan Harapan (PH), semua Ahli Parlimen PH mendapat peruntukan untuk kegunaan kawasan Parlimen termasuk geran untuk sekolah.

"Persoalannya bagaimana saya boleh memastikan kerja menaik taraf atau pembinaan infrastruktur di sesebuah sekolah disiapkan dengan baik dan mengikut piawaian ditetapkan jika saya tidak dibenarkan memasuki sekolah untuk melihat keadaan sedia ada, kerja pembaikan di tapak dan kerja yang telah siap?

"Saya merupakan ahli Parlimen dipilih secara sah oleh pengundi dan mempunyai akauntabiliti untuk menjelaskan kepada umum bagaimana peruntukan yang diterima ini dibelanjakan.

"Menteri Pendidikan sepatutnya mengalu-alukan kehadiran ahli Parlimen pembangkang ke sekolah kerana kami membantu meringankan beban kementerian dalam memastikan infrastruktur di sekolah dibaiki demi keselesaan para pelajar," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Beliau berkata, itu adalah satu contoh jelas di mana kabinet tidak membuat kerja penyelarasan antara agensi mereka.

Menurutnya, peruntukan diluluskan oleh Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) di Jabatan Perdana Menteri tetapi Kementerian Pendidikan tidak membenarkan ahli Parlimen parti pembangkang mengadakan lawatan tapak atau menghadiri majlis rasmi sekolah yang berada di dalam kawasan mereka.

"Di Segambut, wakil Barisan Nasional (BN) dibenarkan keluar masuk sekolah tetapi saya yang telah menang pilihan raya, dipilih secara sah mewakili penduduk di sana dan meluluskan peruntukan diminta berdiri di luar pintu pagar sekolah.

"Tiada sebarang gambar penyerahan cek atau lawatan tapak dibenarkan di dalam kawasan sekolah (kecuali sekolah agama yang ditubuh dan ditadbir urus oleh pihak berkuasa agama negeri)," katanya.

Tambahnya, dengan kewujudan MOU, larangan lapuk itu tidak sepatutnya berkuat kuasa lagi kerana ia tidak masuk akal, tidak adil malah menyebabkan warga pendidik di sekolah berada dalam keadaan tersepit dan ketakutan.

"Saya sedih melihat guru besar dan pengetua sekolah ketakutan apabila saya tiba di pagar sekolah melihat kerja pembaikan yang telah siap.

"Ini langsung tidak mencerminkan semangat tenaga pengajar yang sepatutnya dibenarkan untuk membuat apa yang betul," tambahnya.