Kertas Putih Kesihatan kritikal: Dr Noor Hisham

Dr Noor Hisham
Dr Noor Hisham
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kertas Putih Kesihatan adalah kritikal dan akan menjadi titik permulaan bagi perjalanan ke arah pembaharuan sistem kesihatan Malaysia, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata, pendapat dan idea pelbagai pihak berkepentingan telah diminta secara konsisten selain kerjasama sektor swasta dan badan bukan kerajaan (NGO) dengan pihak kerajaan adalah kritikal dalam memastikan kejayaan pembaharuan sistem kesihatan.

"Marilah kita bekerjasama, memahami keperluan perubahan itu adalah satu peluang keemasan. Marilah kita membentuk sistem kesihatan kita dengan model yang inovatif, saksama, lestari dan berdaya tahan. Jadilah suara untuk mengukuhkan sistem kesihatan kita melalui cadangan Kertas Putih Kesihatan,” katanya dalam perutusan pada Sidang Kemuncak Dasar Kesihatan 2022: Masa Hadapan Perkhidmatan Kesihatan Melalui Pembangunan Kertas Putih Kesihatan di sini pada Isnin.

Dr Noor Hisham tidak dapat menghadiri majlis itu secara fizikal bagaimanapun, ucapan beliau telah dirakamkan terlebih dahulu dan disiarkan semasa sesi panel.

Beliau berkata, tujuan Kertas Putih Kesihatan ialah mencadangkan perubahan signifikan yang diperlukan bagi memastikan sistem kesihatan Malaysia boleh menjangka dan memenuhi keperluan kesihatan negara yang semakin berkembang.

Menerusi ucapannya, Dr Noor Hisham berkongsi gambaran penyelesaian yang boleh diguna pakai oleh fraterniti kesihatan dalam usaha memperkukuh daya tahan sistem kesihatan Malaysia melalui inovasi, kesaksamaan dan kelestarian.

Beliau juga berkata, kerjasama daripada semua pihak berkepentingan adalah penting dalam memastikan daya tahan sistem kesihatan dan memberi contoh ketika pandemik Covid-19 baru-baru ini yang menyaksikan semua orang bersatu hati dalam usaha bersepadu.

"Kami melaksanakan strategi berkesan bagi membendung impak pandemik dalam memastikan akses berterusan kepada perkhidmatan kesihatan, ubat-ubatan dan vaksin serta membina tenaga kerja kesihatan bagi memperkukuh keupayaan mencegah dan memberi maklum balas kepada kecemasan kesihatan dengan jayanya.

"Kami mengoptimumkan sumber manusia dan aset merentasi agensi kerajaan dalam respons kesihatan awam secara bersepadu terhadap pandemik. Hal ini dimungkinkan oleh pelbagai pihak berkepentingan termasuk agensi pusat dan tempatan serta pasukan keselamatan. Individu, NGO dan syarikat menyalurkan sumbangan dengan menderma peralatan daripada pelitup muka hinggalah ventilator,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata, ketika pandemik, Malaysia turut mengalami banyak perkhidmatan yang tertangguh bagi kes bukan Covid-19 dan pengecualian peraturan khas juga dibuat bagi membolehkan para doktor termasuk pakar bedah menjalankan tugasan di fasiliti selain tempat biasa mereka.

"Inisiatif pembedahan secara besar-besaran telah dianjurkan di pelbagai tempat di seluruh negara. Pakar bedah dan pekerja sokongan daripada pelbagai sektor berkaitan kesihatan termasuk angkatan tentera, hospital swasta dan universiti, semuanya digerakkan secara pro-bono,” katanya sambil menambah bahawa apabila fasiliti Kementerian Kesihatan berada di tahap kapasiti penuh, kerajaan telah membenarkan prosedur penyumberan luar kepada pusat kesihatan swasta.

Dr Noor Hisham berkata, kerjasama juga hendaklah dijalin di peringkat serantau dan antarabangsa seperti melalui Sistem Koordinasi Kecemasan Kesihatan Awam ASEAN (APHECS) yang akan memastikan koordinasim keterangkuman dan akauntabiliti lebih baik dalam usaha mempertingkat dayab tahan sistem kesihatan rantau itu.

Mengenai inovasi sistem kesihatan, beliau berkata, kerajaan melalui MIDA, KKM dan CRM (Clinical Research Malaysia) bekerjasama dengan sebuah syarikat antarabangsa yang menyediakan perkhidmatan patologi bersepadu bagi pembangunan ubat-ubatan serta ujian imuno-onkologi.

"Kerjasama ini mempunyai manfaat langsung bagi penyelidikan klinikal di rantau ini. Mudah-mudahan ujian seperti bagi biopenanda kanser boleh didapati secara tempatan tidak lama lagi dengan tempoh menunggu yang lebih singkat untuk diagnosis dan pengurusan,” katanya.

Selain itu, Dr Noor Hisham berhasrat menangani isu kegagalan rantaian bekalan yang berlaku di awal kemunculan Covid-19 dan peperangan di negara yang jauh dengan penyumberan luar dekat pesisir.

Mengenai ekuiti sistem kesihatan, beliau menggesa pihak berkepentingan agar meningkatkan kerjasama awam-swasta sedia ada seperti melalui skim PeKa B40, KOSPEN (Komuniti Sihat Pembina Negara) dan KOSPEN PLUS. - Bernama