Kertas Putih, kenyataan kolektif pembaharuan sistem kesihatan negara

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin Abu Bakar ketika menyampaikan ucaptama bertajuk ‘The Need For Healthcare Reform’ sempena ‘Health Policy Summit 2022’ di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, pada Isnin. - Foto Bernama
Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin Abu Bakar ketika menyampaikan ucaptama bertajuk ‘The Need For Healthcare Reform’ sempena ‘Health Policy Summit 2022’ di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, pada Isnin. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kertas Putih Kesihatan yang dijangka dibentangkan di Parlimen pada November, sepatutnya merupakan pernyataan mengenai aspirasi kolektif rakyat tentang cara untuk menjadikan sistem kesihatan negara menjadi lebih mampan dan berdaya tahan, menerusi pemikiran "menyeluruh kerajaan" dan "menyeluruh masyarakat".

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, pandemik Covid-19 telah mencetus keperluan untuk pembaharuan dalam penjagaan kesihatan, yang sebelum ini tidak pernah berlaku yang memperlihatkan antara kebergantungan kesihatan, kewangan dan fabrik sosial yang berlaku begitu ketara.

Perkembangan ini menjurus kepada usaha untuk pembaharuan penjagaan kesihatan negara demi keperluan kesihatan dan sosial rakyat.

"Hala tuju dan prinsip kami untuk pembaharuan penjagaan kesihatan dalam Kertas Putih Kesihatan harus mencerminkan keperluan ini. Kita tidak seharusnya membiarkan peluang pengajaran daripada pandemik Covid-19 berlalu begitu sahaja," katanya dalam ucaptama bertajuk "Keperluan Untuk Pembaharuan Penjagaan Kesihatan' yang disampaikan pada Sidang Kemuncak Dasar Kesihatan 2022 di sini, pada Isnin.

Khairy berkata, untuk memastikan pelan pembaharuan itu sendiri adalah kebal masa depan dan secara kritikal akan tetap bertahan daripada menteri yang mengambil alih, maka sokongan bipartisan untuk pembaharuan yang dicadangkan dalam Kertas Putih Kesihatan juga penting.

Ini kerana masih terdapat banyak butiran dan pelan tindakan yang perlu diusahakan pada tahun-tahun yang akan datang, katanya.

"Saya harap kita semua akan memainkan peranan untuk menyokong pembentangannya di Parlimen pada hujung tahun ini. Persetujuan anda dan persetujuan Ahli Parlimen (MPs) adalah penting untuk memastikan prinsip dan hala tuju reformasi struktur yang luas untuk sistem kesihatan Malaysia.

"Ini bukan sahaja akan mengukuhkan kedudukan moral dan politik untuk 15 tahun akan datang mengenai pembaharuan yang dicadangkan itu, tetapi dalam erti kata yang lebih besar, ia juga akan melambangkan perpaduan kita demi sistem penjagaan kesihatan yang teguh pada masa hadapan, tidak kira siapa Menteri Kesihatan atau parti mana yang sedang berkuasa,” tambahnya.

Artikel Berkaitan:

Untuk memastikan jaminan pembaharuan itu, Khairy berkata Kertas Putih Kesihatan juga akan mencadangkan Suruhanjaya Pembaharuan Penjagaan Kesihatan untuk memantau, menasihati dan melaporkan secara bebas status pelaksanaan kepada kerajaan, Parlimen, dan rakyat.

"Saya juga akan melantik Majlis Penasihat Kertas Putih Kesihatan, yang terdiri daripada 13 pakar pelbagai bidang untuk menghulurkan bantuan mereka dalam mencabar dan memperhalusi keutamaan dasar kita.

"Terdapat beberapa input yang baik daripada banyak pihak dan saluran, dan saya mengucapkan terima kasih kepada semua yang telah meluangkan masa untuk memberikan pandangan mereka,” kata Khairy.

Beliau seterusnya berkata adalah penting untuk memastikan Kertas Putih Kesihatan memfokuskan pada pembaharuan paling asas untuk menangani cabaran sistemik dan struktur utama yang dihadapi oleh sistem penjagaan kesihatan dan bukannya penyakit tertentu atau kumpulan demografi individu tertentu.

Berikutan perkembangan dalam penyediaan Kertas Putih Kesihatan itu, Khairy berkata kerajaan juga sedang mempertimbangkan untuk meningkatkan belanjawan penjagaan kesihatan secara beransur-ansur sehingga tahap yang disasarkan untuk beberapa tahun akan datang, selain menyusun struktur pembiayaan untuk menjadikan sistem itu lebih mampan dan progresif.

"Sebagai Menteri Kesihatan yang komited menjadikan penjagaan kesihatan demi kebaikan awam, saya mahu meningkatkan peruntukan belanjawan tahunan bagi penjagaan kesihatan awam kepada lima peratus daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK) dalam beberapa tahun akan datang.

"Kenaikan perbelanjaan itu juga mesti diperuntukkan khusus dalam setiap belanjawan berikutnya,” katanya. - Bernama