Premis tidak kibar Jalur Gemilang akan dikompaun: MBK

85 peratus premis di sekitar Bandaraya Kuantan tidak memasang atau mengibarkan jalur gemilang setakat Isnin.
85 peratus premis di sekitar Bandaraya Kuantan tidak memasang atau mengibarkan jalur gemilang setakat Isnin.
A
A
A

KUANTAN - Hampir 85 peratus premis di sekitar Bandaraya Kuantan belum dihiasi atau mengibarkan Jalur Gemilang bagi menyemarakkan sambutan Bulan Kemerdekaan Negeri Pahang dan Hari Malaysia pada September depan.

Ketua Seksyen Perhubungan Awam dan Korporat Majlis Bandaraya Kuantan (MBK), Norkamawati Kamal berkata, trend Jalur Gemilang tidak dikibarkan di premis perniagaan bukan perkara baharu dan ia telah berlaku beberapa tahun sejak kebelakangan ini.

Menurutnya, ia berlaku mungkin disebabkan kurangnya semangat patriotik dalam kalangan pemilik premis di sekitar bandaraya ini.

“Setakat ini hanya 15 peratus sahaja premis yang memasang Jalur Gemilang dan bakinya sekitar 85 peratus lagi masih tidak berbuat demikian walaupun arahan telah lama dikeluarkan.

“Jadi, kita ingatkan semua pemilik premis supaya mematuhi arahan pemasangan bendera bagi hari kebangsaan dan kebesaran kerana ia merupakan sebahagian daripada syarat lesen premis yang dikeluarkan oleh MBK,” katanya ketika dihubungi pada Isnin.

Beliau juga memberi tempoh tiga hari kepada semua pemilik premis dan pelesen untuk memasang Jalur Gemilang bermula pada Isnin.

Jelasnya, tindakan kompaun akan bermula dijalankan secara besar-besaran selepas tempoh ini.

“Jika pemilik premis masih gagal mengibarkan Jalur Gemilang kompaun di bawah Seksyen 107(2) Akta Kerajaan Tempatan kerana melanggar syarat lesen seperti mana syarat-syarat am yang tertera di belakang setiap lesen premis perniagaan," katanya.

Selain itu, Norkamawati mengingatkan supaya pemilik premis memastikan tiada Jalur Gemilang dan bendera negeri yang telah lusuh dan koyak berada di premis milik mereka.