Tindakan ADUN Batu Lintang keluar parti sah, RUU belum digazet

WAN JUNAIDI
WAN JUNAIDI
A
A
A

SHAH ALAM – Tindakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Lintang, See Chee How yang keluar daripada Parti Sarawak Bersatu (PSB) sah kerana Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) (No 3) 2022 berkaitan larangan ahli Parlimen bertukar parti belum digazetkan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, RUU ini juga masih belum lengkap dan ia memerlukan tiga bahagian Parlimen untuk melengkapkannya.

Jelasnya, tiga bahagian Parlimen ialah Yang di-Pertuan Agong, Dewan Negara dan Dewan Rakyat.

“Apa yang berlaku di sini sudah lulus Dewan Rakyat (dan) Dewan Negara, perlu kelulusan yang ketiga iaitu Yang di-Pertuan Agong. Sehingga sekarang ini, saya belum lagi dimaklumkan Seri Paduka Banginda sudah perkenan atau belum (RUU ini).

“Sebab (mengikut) keperluan Perlembagaan, mesti diperkenan oleh Duli Tuanku. Jadi saya belum dapat maklumat lagi sama ada sudah diperkenan atau belum. Jadi ini di luar kawalan saya.

“Selepas diperkenan Duli Tuanku, RUU itu juga memberi satu syarat iaitu penguatkuasaan RUU tersebut atas budi bicara Tuanku juga,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Ahad.

Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai keputusan ADUN Batu Lintang, See Chee How yang keluar daripada PSB seperti yang diumumkan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, Tan Sri Mohamad Asfia Awang Nasar di Kuching.

Pada 28 Julai lalu, RUU Perlembagaan (Pindaan) (No 3) 2022 berkaitan larangan ahli Parlimen bertukar parti, diluluskan selepas bacaan kali ketiga dengan sokongan majoriti melebihi dua pertiga.

Pada 29 Julai, Menteri Pelancongan, Seni Kreatif, dan Persembahan Sarawak, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berpendapat, RUU Perlembagaan (Pindaan) (No 3) 2022 mengenai larangan ahli Parlimen bertukar parti tidak perlu digubal di peringkat DUN Sarawak.

Menurutnya, DUN Sarawak hanya perlu menunggu RUU tersebut diwartakan sebagai akta di peringkat pusat sebelum dikuatkuasakan di peringkat negeri.

Pada 30 Julai, Wan Junaidi memaklumkan empat negeri iaitu Sabah, Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan akan meminda Perlembagaan dan Undang-Undang Tubuh Negeri secepat mungkin selepas RUU Perlembagaan (Pindaan) (No 3) 2022 mengenai larangan ahli Parlimen bertukar parti diluluskan.

Dalam pada itu, Wan Junaidi menambah, RUU ini akan dikembalikan semula kepadanya dan Peguam Negara untuk diolah menjadi format.

“Dipersembahkan (kepada) Duli Tuanku sekali lagi untuk mendapat kebenaran melaksanakan RUU tersebut. Dua perkara ini belum saya tahu lagi,” ujarnya.

Selain itu katanya, setiap dokumen kerajaan perlu digazetkan terlebih dahulu dan ia masih lagi belum dibuat.

“Setiap dokumen kerajaan mesti digazetkan dahulu. Gazet ini adalah makluman secara rasmi kepada umum,” jelasnya.