Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi berkesan: Tok Pa

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed. - Foto Bernama.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed. - Foto Bernama.
A
A
A

KOTA BHARU - Penubuhan Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi memberi kesan apabila beberapa barangan kawalan dalam negara menunjukkan penurunan harga selain bekalan yang kembali stabil.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, antara barangan kawalan tersebut termasuk harga minyak masak botol dan harga serta ayam mentah di pasaran.

Katanya, hal itu juga disebabkan oleh keadaan inflasi dunia yang menurun sedikit beberapa minggu kebelakangan ini dan memberi kesan kepada inflasi di Malaysia.

“Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi memberi banyak kesan khususnya berkaitan penguatkuasaan antaranya harga minyak masak yang agak liat untuk turun dan sekarang ini berharga RM34.70 bagi 5 kilogram (kg) dalam botol. Harga minyak sawit mentah turun daripada RM7,000 satu tan kepada lebih RM4,000 satu tan.

“Bekalan ayam pula kembali stabil dan harganya rendah daripada RM9.40 seperti ditetapkan. Jadi, ini satu contoh membuktikan pasukan ini berfungsi dengan baik melalui mesyuarat dua kali seminggu,” katanya pada sidang akhbar semasa sesi taklimat dan lawatan bangunan Gunasama Jabatan Persekutuan di Pejabat Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) di Tunjong, di sini, pada Ahad.

Mustapa (dua dari kanan) melihat replika bangunan Gunasama Jabatan Persekutuan di Pejabat Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) di Tunjong, Kota Bharu, pada Ahad.
Mustapa (dua dari kanan) melihat replika bangunan Gunasama Jabatan Persekutuan di Pejabat Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) di Tunjong, Kota Bharu, pada Ahad.

Beliau berkata, kerajaan juga akan menilai beberapa rayuan daripada pihak pengusaha ternakan ayam termasuklah cadangan untuk mengeksport semula bekalan ayam ke Singapura.

“Ini masih lagi belum dibuat keputusan dan akan dipertimbangkan sewajarnya. Langkah lebih berfokus dengan adanya pasukan jihad ini yang melibatkan banyak kementerian bagi menangani isu inflasi.

“Tindakan bersepadu berjaya untuk mengawal kenaikan harga dan kadar inflasi untuk bulan Julai yang akan diumumkan tidak lama lagi,” katanya.

Ujarnya, keadaan inflasi dalam negara sedikit reda walaupun angkanya masih tinggi iaitu Indeks Harga Pengguna (IHP) yang digunakan untuk mengukur kadar inflasi di Malaysia pada June 2022 adalah 3.4 peratus berbanding Mei 2022 sebanyak 2.8 peratus.

“Ada kaitan dengan peperangan yang masih berlaku antara Rusia dan Ukraine hingga menimbulkan banyak cabaran kepada negara kita.

“Berlaku juga sedikit pengurangan dalam permintaan di beberapa negara yang ada kaitan dan meredakan inflasi,” katanya.