Kutipan zakat padi di Kedah rendah

Muhammad Sanusi (empat dari kanan) menyerahkan wang wakalah kepada wakil maahad tahfiz dan institusi pondok pada Majlis Agihan Wakalah Zakat Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Bersama Menteri Besar di Dewan Seri Mentaloon, pada Ahad.
Muhammad Sanusi (empat dari kanan) menyerahkan wang wakalah kepada wakil maahad tahfiz dan institusi pondok pada Majlis Agihan Wakalah Zakat Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Bersama Menteri Besar di Dewan Seri Mentaloon, pada Ahad.
A
A
A

ALOR SETAR - Jumlah kutipan zakat di Kedah pada tahun lalu rendah iaitu hanya 10 peratus daripada jumlah kutipan yang sepatutnya diterima sebanyak RM51.5 juta setahun.

Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, zakat padi yang diterima pada tahun lalu hanya RM5.3 juta, daripada 100,000 hektar kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA).

"Apa yang menimbulkan sedikit kekecewaan ialah sepatutnya kutipan zakat padi berdasarkan keluasan kawasan Mada RM51.5 juta.

"Namun melalui rekod Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK), kita hanya dapat RM5.3 juta, yang mana merupakan satu kerugian," katanya kepada pemberita selepas Majlis Agihan Wakalah Zakat Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Bersama Menteri Besar di Dewan Seri Mentaloon di sini, pada Ahad.

Hadir sama, Mufti Kedah, Datuk Fadzil Awang.

Ketika diminta mengulas faktor pesawah tidak menunaikan bayaran zakat padi, Muhammad Sanusi berkata, beliau tidak pasti mengapa kutipan zakat padi hanya 10 peratus.

"Kita berharap kutipan ini mencapai sehingga 90 peratus. Kita tidak tahulah kalau mereka bayar sendiri tetapi ini menunjukkan berlaku kelompongan dalam pembayaran zakat.

"Kemungkinan disebabkan padi ini diusahakan oleh orang bukan Islam, mereka tidak diwajibkan berzakat, manakala tuan tanah pula hanya menerima hasil sewa tanah, jadi mereka juga tidak perlu bayar zakat.

"Ini mengakibatkan umat Islam hilang salah satu sumber kekayaan mereka iaitu zakat apabila semua kekayaan ekonomi dikuasai orang bukan Islam," katanya.

Sehubungan itu, Muhammad Sanusi menyeru supaya pesawah dapat membayar zakat padi kepada LZNK bagi memastikan ia dapat diagihkan kepada asnaf dan membangunkan ekonomi umat Islam.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif LZNK, Datuk Zakaria Othman berkata, kutipan zakat padi masih statik dan tiada lonjakan besar berlaku setiap tahun.

"Justeru, LZNK mengambil inisiatif mengadakan kerjasama dengan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) untuk mengeluarkan arahan kepada semua agensi pembeli atau pengilang padi supaya mencetak peringatan berzakat di semua resit pembelian padi.

"Kita berharap inisiatif diambil LZNK akan membantu melonjakkan kutipan zakat padi selepas ini di Kedah," katanya.

Sebelum itu, Jawatankuasa Pengurusan Wakalah Agihan Zakat Negeri Kedah memperuntukkan RM310,000 untuk diagihkan kepada pengurusan institusi pondok dan maahad tahfiz di seluruh Kedah.

Sebanyak 34 institusi pondok menerima wang wakalah untuk kegunaan pengurusan pondok sebanyak RM3,000 bagi setiap pondok dengan jumlah keseluruhan RM102,000.

Selain itu, 104 maahad tahfiz pula menerima wang wakalah untuk kegunaan pengurusan maahad tahfiz RM2,000 bagi setiap maahad tahfiz dengan jumlah keseluruhan RM212,000.