Gambar CEO Zakat Kedah disalah guna syarikat pinjaman wang

Gambar Zakaria dikesan disalah guna sebuah syarikat pinjaman wang pada Khamis.
Gambar Zakaria dikesan disalah guna sebuah syarikat pinjaman wang pada Khamis.
A
A
A

ALOR SETAR - Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK), Datuk Zakaria Othman membuat satu laporan polis pada Jumaat selepas gambarnya disalah guna oleh syarikat pinjaman wang untuk memerangkap orang awam.

Zakaria berkata, LZNK menyedari perkara itu selepas menerima maklumat awam mengenai penyalahgunaan gambar beliau di poster iklan di Facebook melibatkan pinjaman mudah dan segera.

Menurut beliau, gambar digunakan seolah-olah menunjukkan pihaknya bekerjasama dengan syarikat terbabit untuk mempromosikan sebarang skim sedangkan tiada penglibatan dari LZNK

"Saya ingat dalam bulan lepas sahaja ada empat gambar saya telah disalah guna bagi tujuan tertentu. Jadi, kita telah buat laporan polis dan telah hantar surat amaran supaya tidak menyalahgunakan gambar.

"Pada minggu lepas, ada satu lagi gambar disalah guna sebuah syarikat pinjaman lain dikhuatiri tidak wujud. Tidak tahu sama ada scammer atau sebagainya," katanya pada pemberita selepas Majlis Agihan Wakalah Zakat Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah bersama Menteri Besar Kedah di Dewan Seri Mentaloon di sini, pada Ahad.

Beliau berkata sedemikian ketika diminta mengulas tentang gambar beliau yang dikesan disalah guna dalam iklan sebuah syarikat syarikat pinjaman wang di Facebook, pada Khamis lepas.

Bagaimanapun, Zakaria menegaskan beliau ataupun LZNK sama sekali tidak terlibat dalam perkhidmatan ditawarkan sebuah syarikat pinjaman wang itu.

Justeru, beliau mengingatkan mana-mana syarikat agar tidak menyalahgunakan gambar ataupun nama berkaitan LZNK untuk tujuan tidak baik terutamanya memerangkap orang awam.

Zakaria berkata, pihaknya telah melantik peguam sejak tahun lepas bagi memastikan perkara itu tidak berulang lagi.

"Jadi, kita ambil kesempatan ini untuk memberi ingatan kepada mana-mana pihak yang tidak bertanggungjawab menggunakan nama (LZNK) untuk kepentingan diri dan menyalahgunakan untuk memerangkap sesiapa,"katanya.

Menerusi perkongsian dimuat naik di laman sosial Facebook rasmi LZNK, LZNK menafikan penglibatan secara langsung mahupun tidak langsung dalam iklan pinjaman ditawarkan oleh syarikat itu.

Sehubungan itu, LZNK menyarankan orang awam untuk berhati-hati agar tidak dimanipulasi memandangkan iklan terbabit tidak memiliki sebarang kebenaran bertulis daripada mana-mana pihak LZNK mahupun kebenaran secara rasmi CEO LZNK sendiri.

Oleh itu, pihak kami meminta anda menurunkan poster dan iklan tersebut sebelum pihak LZNK mengambil tindakan tegas melalui undang-undang.

Sebarang penggunaan gambar ketua pegawai eksekutif dan kakitangan LZNK tanpa mendapat kebenaran bertulis dari LZNK adalah tidak dibenarkan dan boleh dikenakan tindakan undang-undang.