Berita palsu, penipuan dalam talian ancam perpaduan negara

Suwadi (dua dari kiri) menyerahkan Jalur Gemilang kepada Pengerusi Persatuan Penduduk Taman Desa Jenderam Hilir, Zainal Abidin Mohd Daim (dua dari kanan) ketika Program Kempen Kibar Jalur Gemilang sempena Sambutan Bulan Kebangsaan 2022 di Dewan Serbaguna Taman Desa Jenderam Hilir pada Ahad. - Foto Bernama
Suwadi (dua dari kiri) menyerahkan Jalur Gemilang kepada Pengerusi Persatuan Penduduk Taman Desa Jenderam Hilir, Zainal Abidin Mohd Daim (dua dari kanan) ketika Program Kempen Kibar Jalur Gemilang sempena Sambutan Bulan Kebangsaan 2022 di Dewan Serbaguna Taman Desa Jenderam Hilir pada Ahad. - Foto Bernama
A
A
A

SEPANG - Berita palsu dan penipuan dalam talian boleh memporak-perandakan perpaduan dan keharmonian dalam masyarakat sekali gus memberi ancaman kepada kemerdekaan negara.

Pengarah Bahagian Gerak Saraf dan Pengurusan Isu Jabatan Penerangan (Japen), Suwadi Guliling berkata, masyarakat kini perlu lebih berhati-hati terhadap ancaman tersebut kerana ia adalah usaha oleh pihak tidak bertanggungjawab yang mahu mengganggu-gugat negara.

"Berita palsu dan penipuan sama ada dalam talian mahupun luar talian akan mendatangkan huru-hara serta kerugian yang besar kepada masyarakat dan ancaman sedemikian boleh menjejaskan nikmat kemerdekaan serta kebebasan sebenar," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Kempen Kibar Jalur Gemilang sempena sambutan Bulan Kebangsaan 2022 anjuran bersama Japen, Jawatankuasa Persatuan Penduduk, Kejiranan Rukun Tetangga Taman Desa Jenderam Hilir dan Jawatankuasa Perunding Penduduk (JPP) Jenderam di sini pada Ahad.

Oleh itu, Suwadi berkata, menjadi tugas Japen sebagai agensi di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM) menyebarkan pelbagai maklumat berkaitan berita palsu dan ancaman siber menerusi media sosial serta program bersemuka supaya masyarakat dapat mengenal pasti ancaman sedemikian.

Beliau juga mengingatkan masyarakat khususnya generasi muda bahawa perjuangan mempertahankan kemerdekaan adalah usaha berterusan bagi memastikan nikmat kemerdekaan itu dapat diwarisi sampai bila-bila, selain menjadi lambang bangsa serta negara itu maju mengikut acuan sendiri.

Menurut Suwadi, kesedaran dalam kalangan anak muda mengenai makna kemerdekaan sebenarnya amat baik walaupun ada sesetengah pihak mendakwa ia semakin merosot.

"Kesedaran itu sebenarnya ada cuma cara generasi muda menonjolkan semangat kemerdekaan itu berbeza iaitu lebih kepada platform media sosial seperti Instagram dan TikTok. Oleh itu agensi kerajaan, pihak berwajib dan persatuan perlu mendekati golongan tersebut contohnya program Kembara Merdeka Keluarga Malaysia (KMKM) banyak dijayakan oleh persatuan berbasikal dan motosikal," katanya.

Mengenai kempen berkenaan, Suwadi berkata, pihaknya mengedarkan Jalur Gemilang kepada 13 taman perumahan dan tiga kampung di sekitar Jenderam Hilir bertujuan menyemarakkan dan menyemai semangat cintakan negara dalam kalangan komuniti. - Bernama