Kuat kuasa Akta Kerja 1955 perlu ditangguh

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Gabungan Persatuan-Persatuan Perniagaan Malaysia (FMBA) memohon supaya penguatkuasaan Akta Kerja 1955 (Pindaan 2022) ditangguhkan bagi tempoh dua tahun.

Pengerusinya, Datuk Abdul Malik Abdullah berkata, susulan pindaan dan penguatkuasaan terhadap Akta Kerja 1955 (Pindaan 2022) dijadualkan pada 1 September ini bukanlah masa yang sesuai untuk dilaksanakan.

“Disebabkan pandemik Covid-19 yang tidak dijangka, lebih banyak perniagaan memerlukan sokongan dan bantuan.

“Lebih-lebih lagi perang Rusia-Ukraine, banjir dan inflasi telah menambahkan lagi cabaran dan bebanan kepada perniagaan dan rakyat.

“Keluarga FMBA bersetuju untuk sentiasa menjaga kebajikan pekerja tetapi ia harus dilaksanakan dalam suatu keadaan di mana tiada mana-mana pihak terkesan sama ada dari pihak majikan mahupun pekerja serta rakyat Malaysia umumnya,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Abdul Malik menambah, tujuh perkara digariskan untuk Kementerian Sumber Manusia dan kerajaan bertindak antaranya, membuat suatu keputusan atau pindaan terhadap Akta Kerja 1955 yang lebih praktikal mengikut industri.

“Selain itu, menyelesaikan masalah kekurangan pekerja dalam sektor-sektor yang telah terkesan akibat pandemik Covid-19, keadaan ekonomi industri dan perniagaan semasa.

“Seterusnya mengambil kira masalah-masalah yang sedang dihadapi oleh majikan atau pengusaha perniagaan terutama perniagaan mikro selain memastikan satu tempoh bertenang tidak kurang dari dua tahun sebelum akta tersebut dilaksanakan.

“Kemudian berbincang dengan semua pemain industri sebelum mengeluarkan sebarang undang-undang atau peraturan bagi memastikan tiada salah faham di antara pekerja dan majikan,” jelasnya

Katanya lagi, kerajaan perlu mengurangkan isu sumber manusia yang akan meningkat akibat ketidakfahaman atau kekhilafan terhadap pindaan Akta Kerja di antara semua pihak dan agensi terlibat.

"Terakhir, memperkenalkan had di mana peruntukan akta tidak terpakai untuk pekerja yang mendapat gaji lebih daripada RM3,000 dengan cara meminda jadual pertamanya melalui perintah menteri," ujarnya.

Dalam pada itu beliau menambah, penguatkuasaan Akta Kerja akan memberi kesan yang tinggi kepada peningkatan harga jualan sesuatu produk mahupun perkhidmatan apabila majikan perlu mengambil pekerja dan menyediakan peruntukkan gaji atau upah yang lebih.

“Ini secara langsung akan menyebabkan rakyat akan terkesan dan akan memberi suatu fahaman walaupun pelbagai inisiatif diambil oleh kerajaan akan tetapi ianya tidak membantu apabila kos sara hidup meningkat.

“Pelaksanaan ini haruslah selari dengan mengkaji semula kadar-kadar yang boleh memberi penjimatan kepada sesuatu kos operasi perniagaan atau industri tersebut.

"Sebagai contoh menaikkan nilai ambang cukai perkhidmatan atau cukai jualan bagi sesuatu industri dan penjimatan yang diterima oleh majikan tersebut boleh diguna pakai bagi menampung peruntukan gaji atau upah sesuatu perniagaan tersebut,” jelasnya lagi.