[VIDEO] Majikan tak patut pertikai kerja 45 jam seminggu

Awang (dua dari kiri) pada majlis MoU Pembangunan Pusat Interaktif Keselamatan Khas di Kompleks Educity pada Khamis.
Awang (dua dari kiri) pada majlis MoU Pembangunan Pusat Interaktif Keselamatan Khas di Kompleks Educity pada Khamis.
A
A
A

ISKANDAR PUTERI - Pengurangan waktu kerja mingguan daripada 48 jam kepada 45 jam sebagaimana yang termaktub di dalam pindaan Akta Kerja 1955 tidak seharusnya dipertikai golongan majikan.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Awang Hashim berkata, pengurangan waktu kerja tersebut akan dilaksanakan pada 1 September ini tidak akan mengurangkan kualiti dan produktiviti pekerja berdasarkan kajian telah dilaksanakan.

"Sebelum akta tersebut pinda dan diluluskan di Dewan Negara dan Dewan Rakyat, kajian telah dibuat terlebih dahulu. Malah terdapat negara maju yang sudah melaksanakan waktu kerja 40 jam seminggu.

"Selain itu, pindaan ini juga bertujuan menjaga kebajikan pekerja kerana kerajaan mahu tumpukan kepada pembangunan kekeluargaan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas majlis tandatangan memorandum persefahaman (MoU) Pembangunan Pusat Interaktif Keselamatan Khas di Kompleks Educity di sini pada Khamis.

Menurut Awang, bagi memastikan pindaan terbabit dapat dilaksanakan sepenuhnya tanpa sebarang isu berbangkit di pihak majikan, kementerian sedia membuka ruang perbincangan.

"Apa sahaja yang dilaksanakan di peringkat awal sekiranya ada isu berbangkit yang timbul itu perkara biasa. Apa yang penting boleh duduk semeja dan berbincang," katanya.

Sebelum itu, di Dewan Negara pada Selasa, Awang memberitahu pindaan Akta Kerja 1955 itu bertujuan menjaga kebajikan pekerja serta memberi kelonggaran dalam waktu kerja, selaras dengan Konvensyen Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO).

Di bawah peraturan baharu itu, pekerja dibenarkan bekerja mengikut kesesuaian tempat, waktu dan hari bekerja termasuklah bekerja dari rumah ketika situasi kecemasan seperti pandemik Covid-19.

Sebelum ini media melaporkan, sejumlah 62 peratus pekerja sepenuh masa di Malaysia lebih gemar fleksibiliti bekerja berbanding hari kerja yang pendek seperti empat hari seminggu, mengikut tinjauan oleh Qualtrics syarikat berpengalaman mengendalikan tinjauan secara dalam talian.

Secara keseluruhan, di Asia Tenggara keutamaan untuk fleksibiliti adalah sebanyak 60 peratus memilih minggu bekerja yang lebih singkat.