X

Kindly register in order to view this article
!

Cara guna kata sendi nama ‘demi’ dan 'untuk'

A
A

DALAM pertuturan atau wacana penulisan saban hari, acap kali penulis menemukan penggunaan kata sendi nama dalam bentuk 'demi untuk' seperti dalam ayat-ayat yang berikut:

1. Penduduk mesti bersatu padu 'demi untuk' kemakmuran kampung.

2. 'Demi untuk' kebaikan bersama, marilah kita bekerjasama menjayakan program ini.

3. Ikutilah syarat-syarat ini 'demi untuk' kelicinan kerja-kerja syarikat.

Menurut Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga (DBP, 2008), penggunaan 'demi untuk' dalam ayat tersebut dianggap lewah, yakni berlebih-lebih sehingga tertambah perkara atau hal yang tidak perlu (Kamus Dewan Edisi Keempat, 2016) dan seharusnya digugurkan.

Sebagai kata sendi nama, perkataan, 'demi' bertugas membawa makna tujuan dan digunakan di hadapan kata nama atau frasa nama. Ayat contoh:

1. Penduduk mesti bersatu padu 'demi' kemakmuran kampung.

2. 'Demi' kebaikan bersama, marilah kita bekerjasama menjayakan program ini.

3. Ikutilah syarat-syarat ini 'demi' kelicinan kerja-kerja syarikat.

Kata sendi nama, 'demi' digunakan sebagai unsur penegas dalam ungkapan seperti yang berikut:

1. 'Demi' Tuhan, aku tidak akan mengulangi perbuatan terkutuk itu.

Selain itu, 'demi' juga digunakan dalam ungkapan untuk melahirkan makna urutan satu atau sekumpulan. Ayat contoh:

1. Buku itu disusun di rak satu 'demi' satu.

2.Mereka bergerak ke dalam dewan, kumpulan 'demi' kumpulan.

3. Terjemahan perkataan 'demi' perkataan sering kali menghasilkan struktur ayat yang tidak gramatis.

Kata sendi nama, 'untuk' dan 'bagi' pula digunakan di hadapan kata nama atau frasa nama, dengan fungsi tertentu seperti yang berikut:

a) Dalam penggunaan 'untuk' menunjukkan kegunaan untuk sesuatu, kata sendi nama, 'untuk' dapat bervariasi dengan kata sendi nama, 'bagi'. Ayat contoh:

1. Rumah (untuk/bagi) pekerja-pekerja estet telah dibaiki.

2. Van itu (untuk/bagi) kegunaan kakitangan pejabat sahaja.

b) Dalam penggunaan untuk menyatakan maksud bahagian yang ditentukan atau diperuntukkan, 'untuk' tidak boleh bertukar ganti dengan 'bagi'. Ayat contoh:

1. Beg baharu ini untuk adik. (/)

2. Beg baharu ini bagi adik. (x)

3. Untuk siapakah hidangan di atas meja itu? (/)

4. Bagi siapakah hidangan di atas meja itu? (x)

Seterusnya, menurut buku, Soal Jawab Bahasa (DBP, 2019), perkataan 'bagi' bermaksud apa-apa yang telah ditentukan atau untuk. Ayat contoh:

1. Ayah telah memberikan wang kepada saya 'bagi' membeli buku.

Perkataan, 'demi' hanya boleh bertukar ganti dengan perkataan 'untuk' dalam konteks kedua-dua perkataan tersebut sebagai kata sendi nama. Ayat contoh:1a. Beliau berkhidmat dengan cemerlangnya 'untuk' negara.

2b. Beliau berkhidmat dengan cemerlangnya 'demi' negara.

Kata sendi nama, 'demi' pula tidak boleh bertukar ganti dengan 'untuk' dan 'bagi' yang berfungsi sebagai kata hubung pancangan atau komplemen. Ayat contoh:

3a. Dia berusaha dengan bersungguh-sungguh 'untuk' mencapai kejayaan yang cemerlang. (/)

4b. Dia berusaha dengan bersungguh-sungguh 'bagi' mencapai kejayaan yang cemerlang. (/)

5c. Dia berusaha dengan bersungguh-sungguh 'demi' mencapai kejayaan yang cemerlang. (x)

6d. Adalah sukar 'demi' mereka menyelesaikan kemelut yang dihadapi oleh kumpulan itu. (x)

(Abdul Ghalib Yunus, Soal Jawab Bahasa: DBP, 2019)

Sebagai kesimpulannya, penggunaan perkataan, 'demi' dan 'untuk' hanya boleh bertukar ganti dalam ayat apabila kedua-dua perkataan ini berfungsi sebagai kata sendi nama.

Bagi perkataan, 'untuk' dan 'bagi', perkataan ini boleh bertukar ganti dalam ayat jika kedua-dua perkataan itu berfungsi sebagai kata hubung pancangan keterangan.

Jika perkataan 'untuk' berfungsi sebagai kata hubung komplemen, maka perkataan tersebut tidak boleh bertukar ganti dengan perkataan 'bagi' dan 'demi'.

Penggunaan perkataan kata sendi nama dalam bentuk, 'demi untuk' pula dianggap lewah, tidak gramatis dan seharusnya digugurkan.

* Ruangan ini dikelolakan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!