173 PEDi tambahan dijangka siap tahun depan

Annuar (kanan) menghadiri majlis penyampaian watikah pelantikan pengerusi PEDi (Pusat Ekonomi Digital) negeri Kelantan di sini hari ini. Foto Bernama
Annuar (kanan) menghadiri majlis penyampaian watikah pelantikan pengerusi PEDi (Pusat Ekonomi Digital) negeri Kelantan di sini hari ini. Foto Bernama
A
A
A

KOTA BHARU - [DIKEMAS KINI] Kerajaan memperuntukkan sebanyak RM200 juta bagi pembinaan tambahan 173 Pusat Ekonomi Digital Keluarga Malaysia (PEDi) di seluruh negara yang dijangka siap pada tahun depan.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa berkata, setakat ini terdapat 911 PEDi di seluruh negara telah beroperasi dengan menyediakan capaian internet selain kemahiran asas digital kepada masyarakat setempat terutamanya di kawasan luar bandar.

Katanya, tambahan pembinaan PEDi itu dapat merealisasikan hasrat pihaknya untuk menjadikan setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) memiliki sekurang-kurangnya satu pusat internet komuniti berkenaan.

"Setakat ini pihak kami telah merekodkan lebih 100,000 pengguna di seluruh negara menerima manfaat daripada PEDi. Oleh itu, penambahan PEDi ini kelak dapat memperluaskan lagi capaian internet kepada masyarakat terutamanya di kawasan luar bandar.

"Selain menyediakan kemudahan capaian internet, kami juga akan mewujudkan peranti internet yang dapat membolehkan komuniti untuk membawanya pulang ke rumah. Fungsinya akan lebih tersebar luas, selain kemudahan rangkaian internet kawasan setempat tanpa wayar (WiFi) juga akan diperluaskan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas hadir Majlis Penyampaian Watikah Pelantikan Pengerusi Pusat Ekonomi Digital Keluarga Malaysia (PEDi), di sini hari ini, yang turut dihadiri Pengarah negeri Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) Kelantan Abd Mubin Mohd Zain.

Mengulas mengenai watikah pelantikan itu, Annuar berkata, pihaknya telah melantik secara rasmi lebih 900 orang sebagai Pengerusi PEDi bagi memastikan trasformasi PEDi dapat dilaksanakan.

"Antara perkara penting adalah memastikan PEDi dapat menyusun program secara aktif selain membolehkan MCMC dan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) secara bersama menyampaikan program yang boleh mengalakkan usahawan muda yang berada di luar bandar untuk menjadi peserta dan memahami ekonomi digital.

"Kami harap inisiatif ini dapat membuka ruang kepada golongan muda untuk menceburi bidang perniagaan menggunakan kemudahan yang ada di platform e-dagang serta kemudahan lain yang berkaitan dengan galakan ekonomi digital yang kementerian sedang lakukan," katanya. - Bernama