KPN tambah baik modul SRN, lancar Oktober ini

Halimah (tengah) merakam kenangan bersama johan dan naib johan Debat Perpaduan Piala Menteri Perpaduan Negara Tahun 2022 di Dewan Sultan Iskandar UTM, Skudai, Johor Bahru pada Sabtu.
Halimah (tengah) merakam kenangan bersama johan dan naib johan Debat Perpaduan Piala Menteri Perpaduan Negara Tahun 2022 di Dewan Sultan Iskandar UTM, Skudai, Johor Bahru pada Sabtu.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Kementerian Perpaduan Negara (KPN) akan bekerjasama dengan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) untuk menambak baik modul Sekretariat Rukun Negara (SRN) di institut pengajian tinggi (IPT) yang dijangka dilancarkan pada Oktober ini.

Menteri Perpaduan Negara, Datuk Halimah Mohamed Sadidque berkata, Modul Program Sekretariat Rukun Negara itu akan melengkapkan aspirasi dan strategi yang digariskan di bawah Dasar Perpaduan Negara (DPN), Rangka Tindakan Perpaduan Negara 2021-2030, Pelan Tindakan Perpaduan Negara (PTPN) serta KAMI@Pelan Perpaduan Keluarga Malaysia 2021-2025.

"Melalui modul yang bakal dilancarkan ini, ia akan terus memperkasakan peranan Rukun Negara dalam pelaksanaan program yang berteraskan kepada pengukuhan 5P iaitu Pengetahuan, Penghayatan, Pemahaman, Pengamalan dan Penilaian.

"Program-program SRN yang bakal dirancang juga akan berpaksikan kepada empat dimensi program iaitu Dimensi Minda Cerdas, Dimensi Kepimpinan, Dimensi Komuniti dan Dimensi Inter Etnik," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Debat Perpaduan Piala Menteri Perpaduan Negara Tahun 2022 di Dewan Sultan Iskandar Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Skudai di sini pada Sabtu.

Hadir sama, Ketua Setiausaha KPN, Datuk Noridah Abdul Rahim, Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Datuk Abang Sallehuddin Abang Shokeran dan Naib Canselor UTM, Profesor Datuk Ts Dr Ahmad Fauzi Ismail.

Halimah berkata, melalui keempat-empat dimensi itu, KPN berharap program tersebut dapat membentuk generasi mahasiswa yang mempunyai literasi tentang Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara.

Selain itu katanya, dapat meningkatkan ciri-ciri kepimpinan di samping meningkatkan interaksi sosial mahasiswa melalui kerjasama komuniti, melahirkan generasi mahasiswa yang bertoleransi, memahami serta menerima kepelbagaian etnik, budaya, bahasa dan agama.

Beliau berkata, KPN dengan kerjasama KPT berhasrat memperluaskan lagi SRN di IPT seluruh negara pada tahun depan.

Menurutnya, usaha itu termasuk menarik lebih ramai keahlian SRN dalam kalangan mahasiswa sebagai suatu mekanisme memperkasa pengetahuan, pemahaman dan penghayatan terhadap Rukun Negara dan berpaksikan Perlembagaan.

"Sehingga kini terdapat 187 SRN di seluruh negara iaitu 30 di IPT awam; 34 di IPT swasta; 28 di politeknik; 17 di kolej matrikulasi; 51 di kolej komuniti dan 27 di institut pendidikan guru.

"Melalui SRN, kita ingin meningkatkan kesedaran mahasiswa untuk mempraktikkan prinsip-prinsip Rukun Negara dalam kehidupan seharian ke arah melahirkan generasi yang mempunyai jati diri, setia, bersatu padu, berwawasan, bersikap terbuka dan beretika," katanya.