Kementerian Kerja Raya akui berlaku kes ali baba

Fadillah (kanan) ketika sidang akhbar sempena Jelajah FTRoadpedia Zon Timur 3.0 di Pejabat Jabatan Kerja Raya (JKR) Perak, di sini pada Sabtu.
Fadillah (kanan) ketika sidang akhbar sempena Jelajah FTRoadpedia Zon Timur 3.0 di Pejabat Jabatan Kerja Raya (JKR) Perak, di sini pada Sabtu.
A
A
A

IPOH - Kementerian Kerja Raya (KKR) mengakui terdapat kes penjualan kontrak secara ali baba dilakukan oleh kontraktor yang dianugerahkan projek.

Menterinya, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, bagaimanapun jumlah kes yang berlaku agak kecil berbanding kontraktor yang melaksanakan projek.

Jelas beliau, proses perolehan perlu melalui tender melibatkan jawatankuasa penilai dan jawatankuasa tender.

"Kita pantau adalah dari segi pelaksanaan. Yang penting kepada kita ialah pelaksanaan itu mengikut standard apa yang telah ditetapkan sama ada berlaku out right secara menjual kontrak, memang ada berlaku tetapi jumlahnya mungkin kecil.

"Apa yang kita nak promosikan, siapa-siapa yang dapat kontrak, dia mesti bertanggungjawab dan bekerjasama dengan subkontraktor yang dilantik tak kira sesiapa, bagi kita ia bertanggungjawab dan answerable kepada kontrak yang ditandatangani," katanya kepada pemberita selepas Jelajah FTRoadpedia Zon Timur 3.0 di Pejabat Jabatan Kerja Raya (JKR) Perak, di sini pada Sabtu.

Fadillah berkata, tidak dinafikan setiap projek memerlukan kerjasama pintar dengan syarikat-syarikat yang mempunyai kepakaran dalam bidang tertentu.

Menurutnya, sama ada syarikat bumiputera atau bukan bumiputra, yang penting mereka mempunyai kepakaran teknikal, peralatan dan kewangan yang kukuh.

Sinar Harian pada Sabtu menyiarkan pendedahan oleh Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM) bahawa hanya sembilan daripada 30 peratus kontrak perolehan projek diterima kontraktor bumiputera benar-benar dilaksanakan sendiri tetapi selebihnya dilaksanakan secara ali baba kepada pihak lain.

Pengerusi MTEM, Abdul Halim Husin berkata, hasil kajian mendapati hanya jumlah kecil itu memanfaatkan secara terus kontrak hasil kuota dasar perolehan yang memberi keistimewaan kepada bumiputera manakala selebihnya projek telah diserahkan sepenuhnya kepada kontraktor bukan bumiputera.