Industri pertahanan pemangkin ekonomi negara

KEBANYAKKAN

Orang ramai tidak melepaskan melihat pertunjukan aerobatik meskipun dalam keadaan cuaca panas sempena Pameran Aeroangkasa dan Maritim Antarabangsa Langkawi 2019 (LIMA’19). -Foto Bernama
Orang ramai tidak melepaskan melihat pertunjukan aerobatik meskipun dalam keadaan cuaca panas sempena Pameran Aeroangkasa dan Maritim Antarabangsa Langkawi 2019 (LIMA’19). -Foto Bernama
A
A
A

KEBANYAKAN pemerhati lama Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi (LIMA) 2019 bersetuju bahawa pameran kali ini adalah yang terbaik sejak ia dimulakan pada tahun 1991. Tetapi, Malaysia Baharu perlu meletakkan sasaran yang lebih tinggi.

Sebagai sebuah negara, kita perlu mencari formula yang sesuai untuk membangunkan industri pertahanan yang sebenar dan kukuh, menjadi pemangkin kepada ekonomi secara menyeluruh.

LIMA tahun ini amat istimewa kerana Langkawi merupakan kawasan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir bin Mohamad, yang melakukan kemunculan semula yang dramatik dalam politik pada usia yang begitu tinggi. Apabila Dr. Mahathir berlawanan dengan sumpahan Mahsuri untuk membangunkan Langkawi, tiada sesiapa menjangkakan beliau, satu hari nanti, akan memerlukan bantuan dan sokongan orang tempatan untuk membawa beliau kembali ke tampuk kepimpinan negara.

Ramai yang lupa, Dr Mahathir merupakan Menteri Pertahanan pada tahun 1981 hingga 1986, dengan kefahaman yang mendalam tentang perkara yang perlu dilakukan demi mempertahankan kepentingan negara. Ia merupakan satu pandangan jauh untuk menganjurkan pameran udara antarabangsa demi membangunkan aeroangkasa dan industri pertahanan tempatan pada tahun 1991, ketika satu masa di mana Langkawi belum mempunyai lapangan terbang antarabangsa lagi.

Mengapa industri pertahanan

Mempunyai industri pertahanan yang kuat bermaksud negara perlu menjalankan penyelidikan dan pembangunan melangkaui pelbagai aspek secara berkesan dan penggunaan teknologi dalam industri pertahanan akan menjadi ‘limpahan’ kepada sektor awam yang lain. Internet, GPS, SIRI dimulakan, diuji dan dibuktikan dalam industri pertahanan sebelum diadaptasi di tempat lain.

Industri pertahanan yang kukuh juga bermaksud ketika krisis atau peperangan, negara mempunyai kemampuan kejuruteraan di setiap aspek untuk mempertahankan diri ketika diperlukan.

Tentunya, perkara yang paling penting ialah matlamat industri yang kukuh dapat mewujudkan pekerjaan yang stabil untuk rakyat Malaysia. Industri pertahanan Malaysia berada pada tahap yang lebih tinggi sejak LIMA yang pertama. Tetapi, pandangan saya berbeza, sebenarnya ia tidak sejauh seperti yang kita harapkan. Kita boleh lakukannya dengan lebih baik lagi berbanding apa yang kita ada sekarang, sekiranya kita menguruskannya lebih baik dan mampu menggilap bakat rakyat kita sepenuhnya.

Sebagai Timbalan Menteri Pertahanan, saya telah melawat lebih kurang dua pertiga pameran di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri, dan saya pulang dengan dua pemerhatian.

Artikel Berkaitan:

Pertama, Malaysia kekurangan jenama dan barangan yang boleh dieksport. Pameran ini lebih menunjukkan jenama besar luar negara yang menjual sesuatu yang kita mungkin tidak perlukan.

Korea Selatan, Turki, Indonesia dan Singapura merupakan contoh negara yang mempunyai industri pertahanan yang kecil 30 tahun lalu tetapi kini bertambah baik dengan senarai produk untuk dieksport yang membanggakan dalam satu generasi - sesuatu yang diharapkan oleh Dr. Mahathir dalam visi LIMA walaupun negara masih tidak mencapai sasaran yang diletakkan.

Kedua, lebih separuh daripada pameran adalah tentang sistem komputer, yang boleh membuka peluang yang baik buat Malaysia untuk memberi impak dengan cara yang lebih pantas. Kita tidak perlu membina sebuah pesawat lengkap atau kereta terbang untuk memenuhi sasaran agar lebih banyak produk dan inovasi Malaysia setanding dengan kualiti dunia. Sesetengah integrasi yang berkesan antara industri pertahanan dan kawasan industri ICT Kuala Lumpur - Cyberjaya, termasuk industri elektronik dan elektrik Pulau Pinang - Kulim boleh menjadi permulaan dalam usaha ini.

Ejen Komisen atau pengeluar

Satu persoalan tentang industri pertahanan di Malaysia adalah sama ada Malaysia hanya menjadi peniaga atau kita boleh menjadi pengeluar barangan yang boleh dieksport. Kalau dikataka secara turus-terang, sebahagian besar yang kita ada dalam industri ini ialah ‘ejen komisen’ atau ‘posmen’ yang menjual senjata sebagi ejen tempatan kepada Kementerian Pertahanan dan Angkatan Tentera Malaysia mewakili pengeluar asing. Sesetengah daripada mereka mempunyai pejabat kecil di beberapa tempat tanpa kakitangan, tetapi membuat keuntungan besar dengan adanya hubungan bersama bekas menteri-menteri pertahanan atau jeneral-jeneral. Penglibatan Razak Baginda/Perimeker dalam rundingan kapal selam Scorpene ini merupakan contoh kes yang jelas dalam hal ini.

Pemegang taruh mengadu bahawa mereka tidak boleh melabur dalam penyelidikan dan pembangunan serta aspek produktiviti sekiranya kerajaan memperoleh atas hasrat dan kepentingan persendirian seseorang menteri atau jeneral. Sebaliknya, jeneral dan pihak yang akan menggunakannya - tentera kita - mungkin tidak menyukai produk tempatan kerana tidak mencapai syarat yang diperlukan. Produk yang tidak berkualiti boleh membawa kepada kehilangan nyawa dalam peperangan atau operasi.

Perolehan atau Dasar Industri

Soalan mustahak ini perlu diselesaikan sebelum kita melangkah lebih jauh. Kerajaan baharu perlu mengangkat semak dan imbang yang berkesan, dasar yang jelas, termasuk perolehan pertahanan yang konsisten, yang saya harapkan agar Kertas Putih Pertahanan dapat memainkan peranan penting.

Untuk peralatan yang tidak mampu dihasilkan sekarang, kita perlu memperolehnya dengan cara yang bersih. Sebaliknya, jika ada peluang untuk memupuk pengeluar tempatan, maka kita perlu menggunakan peluang yang ada sepenuhnya.

Semasa saya melawat Australia tahun lepas, saya dimaklumkan oleh pegawai pertahanan bahawa sejak sekian lama Jabatan Pertahanan boleh membuat perolehan di mana-mana tempat seluruh dunia dan memastikan ia bebas daripada pihak mempunyai kepentingan peribadi bagi memastikan tiada konspirasi rahsia atau rasuah.

Tetapi, terdapat perubahan pemikiran yang penting beberapa tahun yang lalu bagi membangunkan industri pertahanan tempatan yang kuat, mencipta pekerjaan dan teknologi yang mendalam untuk ekonomi Australia. Kerajaan Australia hari ini mempunyai Menteri Pertahanan dan Menteri Industri Pertahanan. Kedua-duanya bertaraf menteri kabinet.

Jika kita bersetuju bahawa terdapat beberapa dasar industri yang diperlukan industri pertahanan, maka kita perlu melakukannya dengan betul. Dasar industri yang berdasarkan “carrot and stick” akan lebih berjaya berbanding pendekatan lain yang menggunakan nama yang berbeza seperti “Kebajikan Korporat” atau, yang lagi teruk sekali kronisme. Industri pertahanan tidak harus hanya menumpukan penjualan kepada kerajaan Malaysia, tetapi turut meletakkan sasaran sebagai pengeksport. Tentunya, terdapat cara dalam menentukan kejayaan dan mengenakan penalti kepada yang gagal seperti melepaskan mereka yang berprestasi rendah.

Harus diakui, masa yang diambil untuk membaik pulih industri pertahanan yang sebenar agak lama berbanding industri lain. Jika ia dilaksanakan dengan betul, kita akan mendapat keputusan yang jelas dalam sedekad lebih, sebab itu saya memberitahu pengunjung semasa dialog di LIMA bahawa ramai antara kita dalam kerajaan bukan sahaja perlu berusaha menangani masalah ataupun “firefighting” untuk 20 hari, seperti kami selalu melakukan sebagai ahli politik, tetapi memikirkan tentang halatuju 20 tahun yang akan datang.

Bagi memastikan dasar industri berjaya, kerajaan mesti menstrukturkan penyelidikan dan pembangunan dengan pelbagai universiti dan institusi penyelidikan dengan lebih berkesan. Kini, majoriti daripada mereka bekerja berasingan. Penyelidikan dan Pembangunan tidak berkesan sekiranya pengguna terhad. Malah, pengguna keselamatan dan pertahanan ( tiga pasukan perkhidmatan awam: ATM, PDRM dan agensi penguatkuasaan lain) tidak boleh bekerja berasingan untuk memperoleh alat yang diperlukan bersama tetapi tidak beroperasi dengan selaras dan tidak membantu industri pertahanan secara menyeluruh.

Dana akan menjadi subjek utama. Jika kita masih bergantung kepada kerajaan tanpa kerjasama pasaran, perkara tersebut agak keterlaluan. Gabungan dana kerajaan merupakan pelaburan yang baik dan membantu. Dalam konteks ini apabila saya melawat Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) pada Januari lau, saya mencadangkan kepada pengurusan baharu untuk melupakan hasrat menjadi pemaju perumahan yang dibawa oleh pengurusan terdahulu, tetapi menjadi pelabur strategik dalam industri pertahanan.

Semasa berada di LIMA, saya mempunyai satu pertemuan yang menarik bersama Dr Ajay Kumar, Setiausaha Pengeluaran Pertahanan (Kementerian Pertahanan India mempunyai empat Ketua Setiausaha yang bertanggungjawab dalam urusan strategik, penyelidikan dan pembangunan pertahanan, pengeluaran pertahanan dan hal ehwal veteran). Menurutnya, revolusi dalam informasi teknologi beberapa tahun ini telah membawa ramai syarikat ICT milik orang awam dalam industri pertahanan. Pada masa yang sama, revolusi teknologi mencipta pasaran yang sama taraf, maka syarikat baharu bersaing dengan syarikat ternama dalam industri pertahanan, seterusnya mencipta pasaran yang didorong oleh teknologi.

Menjadi harapan saya agar LIMA’ 21 dan seterusnya akan berubah dengan lebih banyak inovasi dan ciptaan Malaysia agar kita bukan hanya membeli daripada syarikat asing, tetapi kita mempunyai sesuatu yang hebat untuk ditawarkan kepada dunia.

***Penulis merupakan Timbalan Menteri Pertahanan