Isu iPay88: Kerajaan tunggu laporan penuh

Laporan Sinar Harian
Laporan Sinar Harian
A
A
A

KOTA BHARU - Kerajaan akan menunggu laporan penuh daripada iPay88 (M) Sdn Bhd berkait isu pencerobahan data peribadi pengguna perkhidmatan tersebut selepas 'server' syarikat digodam oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa berkata, pengesahan kehilangan itu belum dapat dipastikan berpandukan kepada maklumat awal dari pegawai teknologi maklumat (IT) memaklumkan 'server' itu tidak menyimpan data peribadi pengguna.

"Jadi iPay88 (M) Sdn Bhd perlu memberikan perkembangan terkini berkait dengan hasil siasatan yang dilakukan berhubung perkara tersebut kepada Jabatan Perlindungan Data Peribadi (JPDP)," katanya kepada pemberita selepas diminta mengulas pencerobohan data iPay88 pada Jumaat semasa mengadakan walkabout di sekitar Kok Lanas di sini.

Menurutnya, susulan itu Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM) telah mengambil langkah segera sebaik sahaja mengetahui perkara tersebut berlaku.

Beliau berkata, setakat ini K-KOMM masih belum mengesahkan wujudnya kehilangan data peribadi walaupun berlaku serangan ke atas 'server' dan pihaknya menunggu laporan penuh hasil siasatan forensik.

Annuar (tengah) beramah mesra semasa mengadakan walkabout di sekitar Kok Lanas pada Jumaat.
Annuar (tengah) beramah mesra semasa mengadakan walkabout di sekitar Kok Lanas pada Jumaat.

Ahli Parlimen Ketereh itu berkata, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), CyberSecurity Malaysia (CSM) serta JPDP sudah mengadakan pertemuan bersama pihak iPay88 pada Jumaat.

"Mengikut maklumat dari vendor iPay88 iaitu SISA dari Singapura, telah mengenal pasti ancaman itu yang menggunakan 'Cobalt Strike'.

"SISA turut membantu siasatan secara forensik dan 'server' yang terlibat dengan serangan itu sudah dikeluarkan dari talian (offline) bagi tujuan siasatan lanjut," katanya.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan pencerobohan data syarikat penyedia perkhidmatan gerbang pembayaran, iPay88 (M) Sdn Bhd berpunca daripada sistem pembayaran kad itu dan ia tidak melibatkan kelemahan dalam sistem institusi perbankan.

Dalam kenyataan pada Jumaat, Bank Negara Malaysia (BNM) menegaskan bahawa siasatan forensik masih dijalankan.