Golongan terjejas keluarkan KWSP, kini tiada caruman hari tua

Foto hiasan
Foto hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - Terdapat golongan terjejas yang memilih mengeluarkan simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) kini langsung tidak mempunyai caruman untuk usia persaraan itu.

Memetik laporan Astro Awani, itu realiti yang mendepani satu daripada tiga responden sebagaimana dinyatakan Laporan Meniti Titian Hidup: Memahami Impak Badai Inflasi yang diterbitkan pada Jumaat.

Hasil kajian berkenaan turut mendapati 57.9 peratus responden telah mengeluarkan KWSP sebelum mencapai had umur pengeluaran mereka.

“Perkara ini sangat membimbangkan kerana perlindungan masa hadapan sangat penting bagi meneruskan kehidupan di hari tua nanti.

“Situasi semasa mereka yang terjejas amat kritikal pada masa hadapan jika tiada intervensi khusus dilaksanakan,” menurut laporan tersebut.

Laporan itu juga menyebut 64.9 peratus daripada golongan yang terkesan akibat kenaikan harga barangan terdiri daripada mereka yang bekerja di sektor swasta dan sektor tidak formal, termasuk bekerja sendiri.

Selain itu, kebanyakan mereka, iaitu 56.9 peratus responden, yang terkesan akibat kenaikan harga ketika ini, tidak mempunyai sebarang perlindungan sosial seperti KWSP, Perkeso dan lain-lain.

Menurut Astro Awani, memetik laporan berkenaan, dapatan itu memberi cerminan bahawa kumpulan isi rumah yang terjejas menghadapi risiko apabila mereka menyertai sektor pekerjaan yang tiada perlindungan sosial serta simpanan masa hadapan, sekali gus akan menyebabkan ketidaktentuan kepada persediaan menghadapi hari tua.

Laporan Meniti Titian Hidup: Memahami Impak Badai Inflasi merupakan dalam kalangan kelompok berpendapatan B40 dan M40 itu adalah hasil kerjasama strategik antara Persatuan Ekonomi Input-Output Malaysia, Astro Awani dan Pusat Kajian Pasaran Buruh Masa Hadapan (EU-ERA) dalam membantu menambah baik instrumen dasar menangani kos sara hidup.

Cerapan data menerusi kaedah purposive sampling pada 23 dan 24 Julai lalu melibatkan 120 sampel dijalankan di 27 penempatan di Lembah Klang dengan 18 daripadanya adalah PPR.