Skandal LCS: Tiada keperluan tubuh RCI, fokus pendakwaan

Hassan
Hassan
A
A
A

JOHOR BAHRU - Tiada keperluan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) untuk menyiasat skandal projek kapal tempur persisir (LCS) kerana hanya membuang masa, sebaliknya pendakwaan perlu dilakukan dalam masa terdekat.

Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim berkata, ini kerana RCI tidak mempunyai kuasa dan pada masa sama laporan audit berkenaan projek LCS telah dibentangkan di Parlimen malah disemak Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC).

Beliau yang juga Ahli Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah (JKMR) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkata, semua itu sudah boleh dimajukan untuk dijadikan asas pendakwaan dalam kes tersebut.

"PAC telah membuat siasatan susulan laporan audit negara berkenaan isu LCS ini dan menemui pelbagai kesalahan bersifat salah guna kuasa, rasuah, pecah amanah dan pelbagai kelemahan serta kecuaian pengurusan wang diperolehi daripada kerajaan.

"Bukan RM6 tetapi RM6 bilion.

Dalam masa yang sama SPRM telah pun selesai buat siasatan tentang isu LCS ini.

Tetapi perlu teruskan siasatan lagi ke atas 'fresh evidence'," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Khamis lalu, PAC dalam laporannya menyatakan, kerajaan sudah membayar RM6.083 bilion untuk projek lima LCS kepada Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS), yang dilaksanakan secara runding terus, namun tiada kapal yang diterima, setakat ini.

Pengerusi PAC, Wong Kah Woh, mendedahkan lebihan kos projek LCS berjumlah RM1.4 bilion, dengan RM400 juta digunakan untuk membayar hutang lama daripada projek kapal peronda lama.

Hassan berkata, RCI tiada 'taring' dan tiada kuasa menjalankan siasatan secara menyeluruh seperti SPRM dan jika suruhanjaya berkenaan tidak diberikan kepercayaan penuh menyiasat kes tersebut, ia hanya membuang masa dan wang kerajaan.

"Kalau bidang kuasa SPRM tak cukup, boleh libatkan agensi siasatan lain juga iaitu polis.

Tak perlu RCI menyibuk lagi.

Apa yang penting SPRM buat siasatan yang meluas dan mendalam serta teliti untuk membina kes yang kuat.

"Kemudian serah kertas siasatan yang lengkap kepada pendakwaraya untuk diteliti dengan cermat.

SPRM dan Jabatan Pendakwaraya boleh mengambil pengalaman daripada kes pendakwaan SRC International dan kes 1Malaysia Development Berhad (IMDB) untuk membina kes pendakwaan yang kukuh dalam isu LCS," katanya.

Tambahya, kerajaan tidak perlu berlengah dengan penubuhan RCI tambahan pula Perdana Menteri bersetuju laporan bekas Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang dan sudah berjanji tiada siapa yang bersalah dalam skandal LCS akan dilindungi.

"Hasil Siasatan RCI boleh dicabar di mahkamah di bawah kaedah semakan Kehakiman.

RCI ini yang terma rujukannya ditentukan Perdana Menteri hanya riuh dan sibuk-sibuk saja tetapi akhir pi mai, pi mai tang tu saja.

Tak seorang pun nanti yang didakwa di mahkamah," tegasnya.

Menurutnya, sebelum ini pelbagai RCI telah ditubuhkan namun tiada mana-mana pihak pun yang didakwa di mahkamah dan dipenjarakan atas kesalahan yang dilakukan.