LRA Langat 2 operasi semula, bekalan air pulih

Ujian persampelan air turut dilakukan di tapak sebelum lori tangki air digerakkan bagi memastikan air terawat yang bersih dah selamat sampai kepada pengguna. - Foto FB Air Selangor
Ujian persampelan air turut dilakukan di tapak sebelum lori tangki air digerakkan bagi memastikan air terawat yang bersih dah selamat sampai kepada pengguna. - Foto FB Air Selangor
A
A
A

SHAH ALAM - Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) akan terus mengagihkan bantuan alternatif melalui lori tangki air digerakkan ke premis kritikal dan kawasan yang terjejas.

Air Selangor dalam satu kenyataannya memaklumkan, ujian persampelan air turut dilakukan bagi memastikan air terawat yang disalurkan kepada pengguna selamat dan bersih.

“Ujian persampelan air turut dilakukan di tapak sebelum lori tangki air digerakkan bagi memastikan air terawat yang bersih dah selamat sampai kepada pengguna,” kata kenyataan itu di laman Facebooknya pada Khamis.

Pada Khamis, Loji Rawatan Air (LRA) Langat 2 beroperasi semula mengikut jadual pada jam 3.30 petang bagi membolehkan proses rawatan air mentah dimulakan.

Berikutan itu, Air Selangor menjangka bekalan air di 397 kawasan terjejas di wilayah Petaling, Kuala Lumpur dan Hulu Langat pulih sepenuhnya jam 8 malam pada Jumaat.

LRA Langat 2 dihenti tugas sementara berikutan pencemaran bahan kimia di Sungai Semantan, Pahang berpunca daripada kemalangan di kilometer 75.9 Lebuhraya Karak-Bentong menuju Kuala Lumpur pada Rabu.

Maklumat terkini akan terus dimaklumkan melalui semua medium komunikasi Air Selangor termasuk Facebook, Twitter, Instagram dan laman sesawang www.airselangor.com.