Kes warganegara anak boleh dirayu di Mahkamah Persekutuan

Ismail ketika menghadiri Persidangan Dewan Negara di Bangunan Parlimen pada Khamis. - Foto Bernama
Ismail ketika menghadiri Persidangan Dewan Negara di Bangunan Parlimen pada Khamis. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pihak terbabit dalam kes berkaitan kewarganegaraan kanak-kanak yang dilahirkan di luar negara oleh ibu warganegara Malaysia, masih mempunyai hak untuk membuat rayuan di Mahkamah Persekutuan.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ismail Mohamed Said ketika menggulung perbahasan usul berkaitan isu itu di Dewan Negara pada Khamis berkata, ia berikutan kes itu baharu sahaja diputuskan di Mahkamah Rayuan iaitu pada 5 Ogos lepas.

Bagaimanapun beliau tidak dapat memberi penjelasan lanjut kerana terikat dengan perundangan negara.

"Saya tidak boleh mendedahkan apa-apa perkara selagi kes mahkamah ini tidak diputuskan di Mahkamah Persekutuan. Saya harap semua yang berhormat senator bersabar apakah tindakan lanjut yang akan diambil kedua-dua pihak terlibat apabila kes ini diputuskan,” katanya.

Dalam pada itu, Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr Rais Yatim kemudian berkata, tindakan Dewan Negara membawa usul berkenaan bukan mencabar kewibawaan mahkamah dan tidak sesekali bersifat subjudis.

Beliau berkata, ia sebagai peringatan kepada negara dan pihak berkuasa bahawa hak yang ada di bawah Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan tidak boleh diambil ringan.

"Sebab itu sementara pihak kementerian membuat penilaian dan sementara pihak kehakiman membuat persiapan, kita sebagai Ahli Dewan Negara sudah mula masuk ke dalam satu arena baharu, iaitu kita prihatin terhadap hak-hak rakyat di luar sana,” katanya.

Ketika membahaskan usul yang dibawanya, Senator Datuk Seri Zurainah Musa sebelum itu mempersoalkan perbezaan layanan yang diberikan bagi anak yang lahir di luar negara kepada lelaki warganegara Malaysia dan wanita bukan rakyat Malaysia akan menerima kewarganegaraan Malaysia secara automatik.

"Sekiranya kedua jantina warganegara Malaysia dilayan sama, tiada isu ketidakadilan tetapi kenapa kita boleh lakukan untuk warganegara lelaki tetapi tidak boleh lakukan yang sama untuk warganegara wanita,” katanya.

Beliau berkata, keputusan kes itu berdasarkan interpretasi Perlembagaan yang telah dibuat oleh Hakim-Hakim Mahkamah Rayuan dan mereka telah meletakkan tanggungjawab kepada Parlimen untuk meminda Perlembagaan demi keadilan keluarga yang terjejas.

Zurainah berkata, memandangkan perkara tersebut melibatkan nasib semua anak yang dilahirkan di luar negara kepada wanita warganegara Malaysia dan lelaki warganegara asing, terdapat keperluan untuk Dewan Negara mendapatkan maklum balas daripada kementerian mengenai status penggubalan pindaan.

Pada 5 Ogos lepas, Mahkamah Rayuan dalam keputusan majoriti 2-1 memutuskan bahawa kanak-kanak yang dilahirkan di luar negara oleh ibu warganegara Malaysia yang berkahwin dengan warga asing tidak berhak mendapat kerakyatan Malaysia dari segi undang-undang. - Bernama