OKT wanita warga Thailand dilaporkan meninggal dunia

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang wanita warga Thailand yang ditahan pada 19 Julai lalu dilaporkan meninggal dunia di Hospital Seberang Jaya, Pulau Pinang pada Isnin.

Ketua Komunikasi Korporat Polis Diraja Malaysia (PDRM), Asisten Komisioner Skandaguru Anandan berkata, wanita berusia 29 tahun itu disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan pada jam 8.30 pagi Isnin.

Menurutnya, proses bedah siasat yang dijalankan pada jam 4 petang mendapati tiada sebarang kecederaan dan punca kematian adalah disebabkan septic shock secondary to pneumonia.

"Wanita itu telah ditahan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 pada 19 Julai lalu dan direman di bawah Seksyen 51(5)b) akta yang sama sehingga Rabu.

"Orang kena tahan (OKT) itu telah ditempatkan di lokap Balai Polis Nibong Tebal, Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Pulau Pinang bagi membantu siasatan kerana dia gagal mengemukakan pengenalan diri," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Skandaguru berkata, OKT itu didapati dalam keadaan tidak sihat pada 20 Julai lalu.

"OKT telah dibawa ke Hospital Sungai Bakap, Pulau Pinang pada jam 11.10 pagi hari sama untuk mendapatkan rawatan.

"Wanita itu disahkan mengalami penyakit anemia (kurang darah) seterusnya ditahan di wad untuk rawatan lanjut," katanya.

Beliau berkata, kertas siasatan telah dirujuk ke Pejabat Timbalan Pendakwa Raya dan mengarahkan agar OKT berkenaan diserahkan kepada Jabatan Imigresen Malaysia untuk pengusiran pada 29 Julai lalu.

"Satu perintah tahanan usir telah dikeluarkan oleh imigresen, namun proses pengusiran tersebut ditangguhkan sehingga proses rawatan di hospital selesai," katanya.

Tambah beliau, OKT berkenaan telah dibawa ke Hospital Seberang Jaya, Pulau Pinang kerana didapati menghidap penyakit tuberkulosis atau tibi dan HIV pada Ahad.

"Unit Siasatan Jenayah dan Kematian Dalam Tahanan, Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard Bukit Aman akan menjalankan siasatan berkaitan kes tersebut," katanya.