Lebih 120,000 pencari kerja berjaya ditempatkan melalui inisiatif KSM

M Saravanan
M Saravanan
A
A
A
KUALA LUMPUR - Sebanyak 120,237 pencari kerja berjaya ditempatkan melalui pelbagai aktiviti dilaksanakan Kementerian Sumber Manusia (KSM) sehingga 29 Julai lepas, kata Menterinya Datuk Seri M Saravanan.

Saravanan berkata, ini adalah antara usaha KSM dalam pengurangan kadar pengangguran di negara ini yang mencatat 3.8 peratus pada Jun berbanding 3.9 peratus pada Mei lepas.

"Ini merupakan kadar terendah yang dicatatkan sejak pandemik Covid-19 melanda negara,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Beliau berkata, antara langkah dilaksanakan termasuk Program Jamin Kerja-Insentif Penggajian (JKIP) yang memanfaatkan pencari kerja dari seluruh negara.

"Program ini berbentuk insentif kewangan diberikan kepada majikan yang membuat pengambilan baharu mulai 1 Jan 2022 dalam kalangan perantis, graduan, golongan mudah terjejas termasuk Orang Kurang Upaya (OKU), bekas tentera, bekas banduan, warga emas serta penganggur,” katanya.

Saravanan berkata, KSM juga meneruskan Program Perantisan JKIP dengan pemberian insentif RM900 sebulan untuk tempoh enam bulan kepada majikan yang menggajikan golongan perantis lepasan sekolah dan graduan berumur 18 hingga 30 tahun dalam jawatan eksekutif.

"Golongan Perantis ini ditawarkan kontrak enam bulan dengan bayaran gaji pemula RM1,500 dan statistik jumlah Program Perantisan JKIP sehingga 29 Julai 2022 adalah sebanyak 5,932 orang,” katanya.

Beliau berkata, KSM turut menubuhkan HRD Corp Placement Centre (HPC) yang berperanan sebagai platform padanan pekerjaan tersedia oleh majikan dengan 43,903 peluang pekerjaan tersedia melalui platform itu sehingga 31 Julai lepas.

"...di mana lebih 6,000 pekerja berjaya mendapat pekerjaan dalam pelbagai sektor serta 60 peratus (3,600 pekerja) daripadanya adalah golongan belia yang memperoleh gaji sebanyak RM2,000 dan ke atas,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, KSM akan meneruskan pelbagai inisiatif dan mewujudkan lebih banyak program serta mekanisme bagi membantu Keluarga Malaysia mendapatkan pekerjaan seterusnya mengurangkan kadar pengangguran negara. - Bernama