Bekalan air di 397 kawasan terjejas dijangka pulih pada Jumaat

Air Selangor jangka bekalan air di 397 kawasan terjejas di wilayah Petaling, Kuala Lumpur dan Hulu Langat pulih sepenuhnya pada jam 8 malam pada Jumaat. - Gambar hiasan
Air Selangor jangka bekalan air di 397 kawasan terjejas di wilayah Petaling, Kuala Lumpur dan Hulu Langat pulih sepenuhnya pada jam 8 malam pada Jumaat. - Gambar hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - Loji Rawatan Air (LRA) Langat 2 beroperasi semula mengikut jadual pada jam 3.30 petang pada Khamis bagi membolehkan proses rawatan air mentah dimulakan.

Pengurusan Air Selangor Sdn (Air Selangor) menjangka bekalan air di 397 kawasan terjejas di wilayah Petaling, Kuala Lumpur dan Hulu Langat pulih sepenuhnya pada jam 8 malam pada Jumaat.

“Bekalan air terawat akan mula disalurkan kepada pengguna secara berperingkat-peringkat apabila sistem agihan bekalan air telah distabilkan,” kata Air Selangor dalam satu kenyataan di laman Facebooknya pada Khamis.

LRA Langat 2 dihenti tugas sementara berikutan pencemaran bahan kimia di Sungai Semantan, Pahang berpunca daripada kemalangan di Kilometer 75.9 Lebuhraya Karak-Bentong menuju Kuala Lumpur pada Rabu.

Berikutan itu, bantuan air alternatif menggunakan lori tangki digerakkan kepada pengguna terutama di premis kritikal bagi meminimumkan dampak gangguan.

Maklumat terkini dimaklumkan melalui semua medium komunikasi Air Selangor termasuk Facebook, Twitter, Instagram dan laman sesawang www.airselangor.com.