397 kawasan di Lembah Klang alami gangguan bekalan air

Sebanyak 397 kawasan di wilayah Petaling, Kuala Lumpur dan Hulu Langat dijangka mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual bermula jam 10 pagi Khamis. - Gambar hiasan
Sebanyak 397 kawasan di wilayah Petaling, Kuala Lumpur dan Hulu Langat dijangka mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual bermula jam 10 pagi Khamis. - Gambar hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - Sebanyak 397 kawasan di wilayah Petaling, Kuala Lumpur dan Hulu Langat dijangka mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual bermula jam 10 pagi Khamis.

Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) dalam satu kenyataan memaklumkan, ia susulan henti tugas sementara Loji Rawatan Air Langat 2 (LRA Langat 2) pada jam 4.30 pagi tadi.

"Pencemaran itu berikutan insiden pencemaran bahan kimia di Sungai Semantan, Pahang akibat daripada kes kemalangan di Lebuhraya Karak-Bentong KM75.9 menuju Kuala Lumpur pada Rabu," menurut kenyataan itu pada Khamis.

Menurut Air Selangor, LRA Langat 2 dijangka akan mula beroperasi semula pada jam 3.30 petang Khamis bagi membolehkan proses rawatan air mentah dimulakan.

Antara kawasan yang terjejas gangguan bekalan air dikongsikan di laman Facebook Air Selangor.
Antara kawasan yang terjejas gangguan bekalan air dikongsikan di laman Facebook Air Selangor.

"Bekalan air terawat dijangka akan mula disalurkan kepada pengguna secara berperingkat apabila sistem agihan bekalan air telah distabilkan," katanya.

Menurut kenyataan itu, bantuan alternatif melalui lori tangki akan digerakkan kepada pengguna dengan keutamaan diberikan kepada premis-premis kritikal.

"Air Selangor sedang mengambil segala usaha bagi meminimumkan impak gangguan kepada pengguna yang terjejas," tambahnya.

Senarai penuh kawasan yang terjejas turut dikongsikan Air Selangor di akaun Facebook rasminya.