Wajib pinda Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 segera

Fahmi
Fahmi
A
A
A

SHAH ALAM - Pengarah Strategik Komunikasi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Fahmi Fadzil mempersoalkan kelewatan sebuah syarikat komersial dalam memaklumkan mengenai pencerobohan data yang berlaku terhadap organisasi tersebut pada Mei lalu.

Ujar beliau, pihak syarikat itu juga tidak mendedahkan informasi penting kepada pelanggan mereka termasuk berapa banyak jumlah data yang terlibat sehingga sekarang.

“Kejadian mungkin berlaku pada Mei lalu, lebih dua bulan lalu.

Namun baru hari ini (Khamis) mereka keluarkan kenyataan.

“Kenapa lambat sangat?

Syarikat-syarikat seperti ini rasa pengguna yang terkesan tak perlu diberi notis atau amaran segera?

“Ini sebab kenapa kita wajib pinda Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 segera.

Pengguna yang terkesan wajib diberitahu apa telah terjadi kepada data mereka,” katanya dalam siaran di Facebooknya pada Khamis.

Pada Khamis, syarikat itu mendedahkan bahawa terdapat insiden keselamatan siber di mana data kad pengguna mungkin telah diceroboh.

Dalam pada itu, menurut Fahmi, syarikat seperti itu perlu menghormati pelanggan mereka kerana keseluruhan sistem bisnes organisasi berkenaan bergantung kepada data daripada pengguna.

“Tanpa data kita, syarikat seperti itu langsung tak boleh berniaga.

“Syarikat-syarikat komersial yang gagal menjamin keselamatan data wajar dihukum, sama ada dengan membayar pampasan kepada pengguna yang terkesan atau dengan mengheret pihak pengurusan ke mahkamah, atau kedua-duanya,” ujarnya.