Swasta digesa bantu belia kurang bernasib baik: Maszlee

Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik ketika melancarkan program kebangsaan Financial Industry Collective Outreach (FINCO) di Sekolah Menengah Kebangsaan Padang Tembak, di sini, hari ini. - Foto Bernama
Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik ketika melancarkan program kebangsaan Financial Industry Collective Outreach (FINCO) di Sekolah Menengah Kebangsaan Padang Tembak, di sini, hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sektor swasta perlu terlibat membantu golongan belia dan kanak-kanak menerusi program khas yang boleh mewujudkan persekitaran pendidikan yang menceriakan, terutama dalam mempelajari bahasa Inggeris.

Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik berkata bantuan mereka amat diperlukan untuk pelajar terutama dari keluarga berpendapatan rendah ke arah mencapai matlamat akademik dan kehidupan mereka.

“Kita harap lebih banyak syarikat swasta di Malaysia turut terlibat membantu kita (kementerian) meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan anak-anak murid.

Kementerian menyambut baik peluang sektor swasta untuk bekerjasama untuk mencapai matlamat bersama dalam jangka panjang untuk sistem pendidikan," katanya selepas melancarkan program kebangsaan Financial Industry Collective Outreach (FINCO) di Sekolah Menengah Kebangsaan Padang Tembak, di sini, hari ini.

FINCO melibatkan kerjasama 107 institusi kewangan, menjadikannya inisiatif impak kolektif terbesar bagi tanggungjawab sosial korporat (CSR) di Malaysia bertujuan untuk meningkatkan akses kepada peluang untuk kanak-kanak yang kurang bernasib baik. Ia menganjurkan program inovatif di seluruh negara, serta menginspirasi kerjasama berskala besar dalam sektor korporat untuk mencapai faedah sosial dan alam sekitar yang sistematik.

Ia ditubuhkan oleh Bank Negara Malaysia pada 2016 untuk memberi tumpuan kepada pelaksanaan program untuk meningkatkan penguasaan dalam bahasa Inggeris dan memberi motivasi untuk belajar di kalangan kanak-kanak dan belia dari golongan berpendapatan rendah.

Maszlee berkata FINCO telah bekerjasama rapat dengan kementerian untuk melaksanakan program meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris di seluruh negara menjelang 2021.

Sementara itu, pengerusi FINCO Tan Sri Azman Hashim berkata projek perintis yang bermula di Sabah dan Sarawak pada 2017 sangat berjaya dengan penglibatan ibu bapa, guru dan Jabatan Pelajaran.

Artikel Berkaitan:

"Kami mahu kanak-kanak dan remaja mahir dalam bahasa Inggeris dan juga membantu mereka untuk bermotivasi dalam kehidupan agar mereka dapat mencapai matlamat akademik dan kehidupan mereka," katanya.

Beliau berkata 40 sekolah di Selangor, Kuala Lumpur dan Johor Bahru telah dikenal pasti untuk program FINCO bulan ini yang menggabungkan empat bidang strategik - aspirasi kehidupan, kemahiran bahasa Inggeris, kemahiran kewangan dan bantuan bencana - untuk masa depan yang lebih baik untuk kanak-kanak di Malaysia.- Bernama