Melaka tamatkan kebenaran solat Jumaat di 228 surau

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

MELAKA - Kerajaan negeri bersetuju menamatkan kebenaran mendirikan solat Jumaat secara sementara di 228 buah surau berkuat kuasa Jumaat depan.

Mufti negeri, Datuk Halim Tawil berkata, perkara itu diputuskan melalui Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) yang dipengerusikan Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali minggu lepas.

Menurutnya, berikutan itu Jumaat ini merupakan hari terakhir bagi semua surau terlibat mendirikan solat Jumaat dan selepas tarikh itu, semua anak kariah dikehendaki kembali mendidikan Jumaat di masjid kariah masing-masing.

Katanya, keputusan dibuat selaras dengan syor daripada Jawatankuasa Fatwa Negeri Melaka yang bersidang pada 27 Jun lalu untuk menamatkan kebenaran sementara kerana Covid-19 yang diberikan kepada surau-surau.

"Keputusan ini juga selari dengan kaedah fiqh bahawa apabila darurat menimpa seseorang atau jemaah, jika beramal dengan hukum asal yang disyarakkan dalam keadaan biasa akan menyulitkan dan membebankan mereka untuk melaksanakannya, maka kerana itu diberi keringanan dan kemudahan ke atas mereka selagi mana darurat itu masih wujud," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Khamis.

Jelas beliau, keputusan itu juga berdasarkan justifikasi bahawa ruang masjid masih boleh menampung kapasiti jemaah dalam satu-satu masa.

Selain itu ujar beliau, justifikasi itu termasuk mengimarah dan meninggikan syiar Islam di masjid-masjid dan mengukuhkan perpaduan dalam kalangan masyarakat setempat melalui penglibatan bersama dalam aktiviti-aktiviti masjid.

Beliau turut berterima kasih kepada semua surau yang telah mengambil tanggungjawab meskipun secara sementara bagi membolehkan lebih ramai umat Islam di negeri ini mendirikan solat Jumaat dalam tempoh Covid-19.

"Semoga keputusan ini dapat meningkatkan martabat dan syiar Islam di negeri ini dan mengukuhkan perpaduan dan kesatuan ummah dalam negeri Melaka," katanya.