Perak sasar GPN 4.35 SPM tahun ini melalui TRAS

Khairudin (empat dari kiri) menyampaikan sijil kepada wakil pelajar sempena Bengkel Pecutan Akhir SPM dan Majlis Penutupan Program TRAS Tahun 2026 di Pusat Konvensyen Casuarina di Ipoh pada Rabu.
Khairudin (empat dari kiri) menyampaikan sijil kepada wakil pelajar sempena Bengkel Pecutan Akhir SPM dan Majlis Penutupan Program TRAS Tahun 2026 di Pusat Konvensyen Casuarina di Ipoh pada Rabu.
A
A
A

IPOH – Perak menyasarkan Gred Purata Negeri (GPN) Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sebanyak 4.35 tahun ini berbanding 4.49 pada tahun lalu menerusi pelaksanaan pelbagai inisiatif pendidikan termasuk Program Transisi Ke Arah Perak Sejahtera (TRAS).

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak, Datuk Khairudin Abu Hanipah berkata, sasaran itu turut melibatkan peningkatan peratus calon layak menerima sijil SPM kepada 97.8 peratus berbanding 96 peratus pada tahun lalu.

Menurutnya, program TRAS yang memasuki tahun kelima pelaksanaan menjadi antara usaha membantu meningkatkan prestasi akademik pelajar khususnya daripada keluarga berpendapatan rendah.

“Antara faktor yang menyumbang kepada peningkatan prestasi ini ialah program TRAS selain inisiatif One Third High yang dilaksanakan JPN (Jabatan Pendidikan Negeri) Perak bersama Yayasan Perak.

“Kita memberi tumpuan kepada subjek Matematik dan Bahasa Inggeris kerana berdasarkan penilaian prestasi, kedua-dua subjek ini dikenal pasti antara kelemahan yang mempengaruhi pencapaian calon SPM,” katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian selepas mewakili Menteri Besar Perak menyempurnakan perasmian Bengkel Pecutan Akhir SPM dan Majlis Penutupan Program TRAS Tahun 2026 di Pusat Konvensyen Casuarina di sini pada Rabu.

Khairudin (duduk, dua dari kiri) bersama tetamu jemputan dan peserta yang hadir sempena Bengkel Pecutan Akhir SPM dan Majlis Penutupan Program TRAS Tahun 2026 di Pusat Konvensyen Casuarina di Ipoh pada Rabu.
Khairudin (duduk, dua dari kiri) bersama tetamu jemputan dan peserta yang hadir sempena Bengkel Pecutan Akhir SPM dan Majlis Penutupan Program TRAS Tahun 2026 di Pusat Konvensyen Casuarina di Ipoh pada Rabu.

Khairudin berkata, seramai hampir 690 pelajar berpotensi daripada keluarga B40 di 23 sekolah melibatkan 22 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) mengikuti program berkenaan tahun ini.

Artikel Berkaitan:

Katanya, pelajar terbabit menjalani program selama sembilan bulan menerusi tiga komponen utama iaitu Tuisyen Intensif TRAS, Program Pengupayaan dan Transformasi Pelajar serta Bengkel Pecutan Akhir.

Menurutnya, program kendalian Yayasan Perak dengan kerjasama JPN dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) itu memberi peluang kepada pelajar yang berpotensi untuk mengikuti kelas tambahan tanpa membebankan keluarga masing-masing.

“Apabila kita bertanya kepada pelajar, kita melihat peningkatan yang agak ketara. Ada dalam kalangan mereka yang sudah memperoleh keputusan lapan A, tujuh A dan enam A.

“Saya yakin jika program ini diteruskan, ia boleh menjadi antara pemangkin untuk melonjakkan pencapaian pendidikan di Perak selaras dengan hasrat One Third High,” katanya.

Beliau berkata, pelaksanaan TRAS tahun ini diperluaskan kepada 22 kawasan DUN berbanding kira-kira 10 hingga 12 sekolah sebelum ini susulan pencapaian positif yang ditunjukkan menerusi program berkenaan.

Katanya, pemilihan sekolah turut memberi tumpuan kepada kawasan luar bandar bagi memastikan pelajar daripada keluarga kurang berkemampuan mendapat akses kepada bimbingan akademik tambahan.

Khairudin berkata, kerajaan negeri berkemungkinan memperluaskan program itu ke lebih banyak kawasan DUN, bergantung kepada peruntukan yang akan dipertimbangkan menerusi Belanjawan Perak 2027.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!